Home » Aspirasi » Wakil rakyat kena ikut ajaran Islam permudah urusan rakyat

Wakil rakyat kena ikut ajaran Islam permudah urusan rakyat

NAMA Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi.

Berusia 55 tahun, Chee Heng cukup terkenal dengan kerja-kerja kebajikan yang beliau lakukan sejak sekian lama.

Lelaki yang berasal dari Kampung Bukit Cermai, Batu Pahat, Johor ini pernah bertugas sebagai anggota polis selama enam tahun sebelum menamatkan perkhidmatannya dan menceburi bidang perniagaan secara sepenuh masa.

Semalam Malaysia Gazette menemui Chee Heng di kediamannya di Puchong Utama, Selangor.

Pertemuan yang sepatutnya pada pukul 4 petang itu terpaksa dilewatkan hampir sejam. Ini kerana Chee Heng terpaksa bergegas ke wad kecemasan sebuah hospital bagi membantu rakannya yang diserang angin ahmar.

“ Maafkan saya, bukan saya sengaja. Beginilah kehidupan saya. Sebenarnya bila kita membantu orang, ibaratnya macam kita bantu diri sendiri juga, kita takkan rugi apa-apa,” katanya memulakan perbualan.

Ketika kami menemuinya, ada empat telefon bimbit di atas meja kecilnya. Setiap satu telefon mewakili ‘pelbagai situasi’ yang berlainan. Ada khas untuk orang ramai membuat aduan, sebuah telefon bimbit untuk perkhidmatan van jenazah untuk orang Islam, sebuah telefon bimbit untuk panggilan kecemasan dan sebuah lagi untuk bantuan kepolisan masyarakat.

Tidak lama selepas kami dipelawa duduk, datang pula dua orang pembantu beliau yang datang membawa berkampit-kampit beras ke rumahnya untuk diberikan pada mereka yang tidak berkemampuan.

“ Kedua-dua mereka ini bekerja sepenuh masa dengan saya. Saya bayar gaji mereka untuk memberi bantuan pada masyarakat yang memerlukan rawatan kesihatan khususnya di Puchong ini. Kita bagi perkhidmatan percuma, ambulan percuma, van jenazah pun percuma pada golongan miskin, hantar ke hospital pun kita cuma caj sepuluh sen,” katanya.

Mengenai komitmen dan kesungguhan beliau yang ‘mengalahkan’ seorang wakil rakyat, Chee Heng tidak menunggu lama untuk membidas kebanyakan ‘Yang Berhormat’ atau YB di negara ini yang beliau sifatkan gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh pengundi mereka.

Katanya, tidak ada sebab untuk tidak memberikan perkhidmatan yang didambakan kerana setiap daripada YB ini mempunyai peruntukan yang besar untuk dibelanjakan di kawasan masing-masing.

Beliau kesal kerana ahli politik ini hanya mementingkan ‘wajah’ dan propaganda politik mereka daripada membantu rakyat marhaen yang susah dan melarat.

Sebagai contoh, beliau mempersoalkan kenapa ramai para YB sekarang takut untuk meletakkan nombor telefon bimbit peribadi mereka di kain–kain pemidang (banner) terutama bila menjelang satu-satu perayaan atau hari-hari kebesaran tertentu.

Sepatutnya mereka, kata Chee Heng, perlu ikut apa yang diajar oleh agama Islam iaitu memudahkan kehidupan para pengundi yang bersusah payah mengundi mereka sehingga mencapai kemenangan setiap kali pilihan raya diadakan.

“ Saya ada empat telefon bimbit ni bukan sebab saya gila, tetapi bagi memudahkan orang menghubungi saya. Saya selalu sebut, dalam kain-kain pemidang yang digantung itu, muka kita tak penting, tetapi nombor telefon tu yang utama dan perlu letak dulu.

“ Kalau boleh biar dari jarak 10 batu lagi rakyat dah nampak, jadi rakyat senang telefon kita. Bila rakyat senang telefon kita, itulah maksudnya PERMUDAHKAN!

“ Saya ni gelojoh, saya nak Tuhan permudahkan jalan saya jadi saya permudah urusan orang . Sebab tu saya ni mudah, kalau saya boleh bagi (bantuan), saya bagi. Kalau saya tak boleh, saya kata tak boleh. Tak payah suruh orang tunggu, tak payah berpura-pura lagi,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau mengakui ramai daripada mereka yang datang menemuinya untuk meminta bantuan adalah orang Melayu.

Namun beliau tidak pernah menganggap ia berpunca daripada sifat malas golongan berkenaan, malah beliau merasakan orang Melayu juga terkenal dengan kesungguhan mereka dalam mencari rezeki.

Pun begitu beliau berpendapat, orang Melayu juga perlu mengikis sifat cemburu yang keterlaluan jika ingin terus berjaya disamping tidak lalai dalam menjaga tubuh badan serta kesihatan mereka.

“ Saya kenal ramai orang Melayu yang kuat bekerja, dia tidur empat jam saja sehari. Tengok saja orang Melayu yang pergi bekerja di Singapura, mereka sanggup kurang tidur, memang rajin. Dan satu benda yang perlu kita ingat, adakalanya bukan pemalas, tetapi rezeki belum sampai.

“ Cuma saya nak tegur sikit, Melayu ni kurang jaga kesihatan. Banyak yang kena potong kaki, kencing manis sebagai contoh. Mereka juga ‘kuat cemburu’. Kalau perniagaan kawan mereka laris, mereka taruk bomoh, taruk toyol untuk kacau. Itu kita kena kikis,” ujarnya sambil tersenyum.

Kerancakan Chee Heng berbicara tiba-tiba terhenti ketika diminta mengimbas kembali memori sewaktu di zaman persekolahannya.

Menurutnya, beliau lahir dari keluarga yang susah dan miskin. Chee Heng masih ingat bagaimana beliau terpaksa memakai seluar bersaiz besar ketika pergi ke sekolah kerana keluarganya tidak mampu membelikan pakaian mengikut saiz yang sepatutnya.

Disebabkan itu, ujarnya, beliau sering diketawakan.

“ Seluar saya besar ‘gajah’. Orang ketawa dan sindir saya. Sebab itu saya selalu mengingatkan, jangan kerana kamu susah lalu kamu ‘give up’. Susah itu juga kurniaan Tuhan supaya suatu hari nanti kamu boleh tolong orang lain,” katanya sambil mengesat air mata yang mengalir di pipinya.

Wajahnya kembali ceria apabila ditanya mengenai banyak komen-komen di Facebook yang mendoakan beliau ‘diberi hidayah’ dan seterusnya memeluk Islam.

Kata Chee Heng, beliau langsung tidak marah atau terasa hati apabila diajukan perkara sedemikan.

“ Sebenarnya (komen) itu saya sifatkan sangat indah kerana orang sering mendoakan saya menjadi seorang Muslim. Bagi saya, bab agama adalah saya dengan Tuhan. Saya belum Islam, saya belum Kristian, saya belum Budhist. Akan datang saya tak tahu, mungkin tiba-tiba ada petunjuk lain, itu saya tak tahu,” katanya tersenyum sebelum mengakhiri perbualan. – Malaysia Gazette.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *