Home » Langit Terbuka » ‘Wake-Up 4 Gaza : Freedom Humanitarian Mission.’ Kerajaan Mesir Bagi Lampu Hijau

‘Wake-Up 4 Gaza : Freedom Humanitarian Mission.’ Kerajaan Mesir Bagi Lampu Hijau

Tiga lagi delegasi Malaysia dibenar masuk Gaza. Wakil negara yang dalam misi Wake-Up 4 Gaza: Freedom Humanitarian Mission.

KERAJAAN Mesir memberikan kebenaran kepada tiga lagi aktivis kemanusiaan dari Malaysia untuk memasuki Gaza dalam misi ‘Wake-Up 4 Gaza : Freedom Humanitarian Mission.’

Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery berkata, nama yang sudah mendapat kelulusan ialah Presiden MAPIM Mohd Azmi Abdul Hamid, seorang lagi Naib Presiden MAPIM, Abdul Aziz Abu Bakar dan Dr Zain Kandar dari MyCare.

Beliau berkata, perkembangan terbaru itu memberikan semangat kepada delegasi Malaysia untuk terus menyumbang kepada saudara seagama di Gaza.

“Ketika ini, saya sedang transit di Jeddah dan akan memberikan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.

“Petang esok (waktu Mesir), saya bersama delegasi antarabangsa dijangka tiba di Rafah. Bagaimanapun, Mohd Azmi (Cikgu Azmi) memaklumkan tidak dapat turut serta atas faktor kesihatan,” katanya.

Ahmad Sani berlepas ke Gaza pada Selasa selepas dinamakan Duta Malaysia dalam misi antarabangsa berkenaan yang akan berada di sana selama 10 hari.

Sementara itu, Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, dia akan menggunakan kesempatan diberikan untuk bersama-sama delegasi membantu di dalam misi berkenaan dan menyifatkan ia sebagai satu peluang yang tidak boleh dilepaskan.

Katanya, pada awalnya, dia menjangkakan akan mendapat kebenaran masuk selepas Aidilfitri, namun tidak menjangkakan panggilan diterimanya petang semalam adalah peluang terhidang untuk membantu demi Islam.

“Saya pun kurang sihat, tetapi disebabkan ini peluang keemasan, kalau terpaksa merangkak pun saya pergi. “Kali terakhir misi dapat masuk ke Gaza ialah pada 2014. Saya akan sertai Dr Sani Araby di Kaherah nanti, insya-Allah,” katanya yang berlepas pada 2 pagi hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian di pautan www.billplz.com/tabungkilatgaza. – HARIAN METRO ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *