BAGAN DATUK 14 Feb.- Umat Islam yang mahu mewakafkan harta dan tanah masing-masing untuk tujuan tertentu diminta melakukan urusan dokumentasi terlebih dahulu mengikut perundangan negara.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara tersebut amat perlu dibuat bagi mengelakkan berlakunya sebarang tuntutan atau pertikaian daripada waris pemilik tanah terutama apabila mereka telah meninggal dunia.
Menurutnya, ia juga bagi memastikan umat Islam mendapat manfaat secara maksimum dari tanah-tanah wakaf tersebut.
“Apabila kita hendak wakafkan hartanah, kena ikut perundangan yang ada, kita ada seperti Kanun Tanah Negara, Baitulmal dan undang-undang agama Islam di setiap negeri.
“Jadi perkara-perkara yang ada melibat aspek perundangan seperti wakaf ini tidak boleh dilakukan dengan hanya niat sahaja sebaliknya perlu didokumentasikan,” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis minum petang bersama masyarakat dan kariah Masjid Ubudiah di Parit 19, Hutan Melintang dekat sini hari ini. – UTUSAN ONLINE
KOMEN