Home » Langit Terbuka » Wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah ikut syarak

Wajibkan penjawat awam ambil vaksin sah ikut syarak

Vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19. - Foto Katadata.com

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mewajibkan penjawat awam mengambil vaksin Covid-19 berdasarkan pertimbangan tertentu, adalah sah dari sudut pandangan syariah dan perlu dipatuhi serta tidak boleh dianggap menyekat kebebasan individu di negara ini, kata seorang pakar syariah.

 

Ketua Penolong Mufti (Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed berkata, berdasarkan Siasah Syar’iyah, apabila kerajaan telah mewajibkan penjawat awam divaksinasi, maka kelompok yang enggan patuh boleh dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan berkaitan kepentingan umum serta tidak bertentangan dengan syariat.

 

“Agama Islam melalui bidang Siasah Syar’iyah memberikan hak mutlak kepada pemerintah (kerajaan yang mentadbir) untuk mengeluarkan arahan tertentu dalam menguruskan keadaan darurat seperti penularan Covid-19.

 

“Tindakan tatatertib boleh dikategorikan sebagai hukuman ringan yang boleh dikenakan oleh kerajaan menurut Siasah Syar’iyah,” katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Syed Shahridzan berkata, vaksinasi adalah demi kepentingan umum dan bukan individu serta memerlukan kerjasama orang ramai untuk menjayakannya kerana sudah terbukti secara saintifik bahawa individu yang tidak divaksin boleh menyebabkan orang lain lebih mudah dijangkiti Covid-19.

 

“Dalam kes ini, kita menggunakan kaedah fekah ‘al-masalahatu al-‘ammatu muqaddamatun ‘ala al-maslahati al-khaassati’ (kepentingan awam lebih diutamakan daripada kepentingan peribadi).

 

“Kerajaan boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas penjawat awam atas dasar maslahat (kepentingan). Berdasarkan kelebihan yang diperuntukkan oleh Siasah Syar’iyah kepada pemerintah (kerajaan), ia boleh mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 ke atas semua rakyat di negara ini,” katanya.

 

Menurut Syed Shahridzan, ini berpandukan kaedah fekah lain yang menyatakan, ‘tasarruful Imami ‘ala al-ra‘iyyati manutun bil maslahati’ (keputusan kerajaan untuk rakyat dilaksanakan demi kepentingan mereka). – Sinar Harian

Artikel Berkaitan

Maqasid haji membina kesatuan ummah

Ibadah haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang menjadi tunjang dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi ketaatan kepada Allah SWT

Ukuran haji mabrur

Ibadat haji merupakan kewajipan bagi umat Islam yang mampu dan menjadi rukun Islam kelima. Tentunya setiap kewajipan yang ditetapkan oleh Allah SWT

Syahristani tajam dalam ilmu perbadingan

  Syahristani adalah seorang ulama terkenal abad ke-21 khususnya di bidang teologi, sejarah dan agama. Ia juga dikenali sebagai ahli perbandingan agama.

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *