KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini secara terbuka mengajak ahli dan kepemimpinan parti itu menentang parti gabungan pakatan pembangkang diterajui DAP yang didakwa menonjolkan sikap anti-Islam secara terang-terangan.
Walaupun tidak menyatakan secara khusus parti dimaksudkan, penegasan Presiden PAS itu dipercayai menjurus kepada parti dalam Pakatan Harapan (PH) termasuk DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Abdul Hadi menyifatkan pemimpin Melayu dalam PH sanggup diperkudakan dan menjadi pengkhianat kerana bersekongkol dengan parti yang jelas menyatakan pendirian anti-Islam.
“PAS wajib menentang parti yang nyata anti-Islam, bersama Melayu yang diperkudakan dan pengkhianat bersekongkol dengannya yang bakal menjadi laksana ekor cicak terputus dari badan kerana meninggalkan PAS.
“Kini mereka berani bersuara tanpa sopan terhadap sensitiviti umat Islam dengan kenyataan terbuka dalam urusan umat Islam.
“PAS tidak bermusuh dengan mereka yang bersopan terhadap umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Abdul Hadi berkata, PAS tidak boleh membiarkan pihak yang secara jelas memusuhi dan menggugat kuasa politik umat Islam.
Parti itu juga, katanya, tidak akan membiarkan pengamal politik oportunis yang dilihat berkeliaran mencari jalan pintas ke Putrajaya dengan berwalak kepada musuh Islam.
“PAS memilih konsep demokrasi dalam amalan politiknya dengan beristiqamah bersama Islam sejak ditubuhkan pada 1951 sehingga kini.
“Selain itu, PAS turut memperkenalkan politik matang dan sejahtera bagi membersihkan politik temberang, bohong, fitnah dan melampau, di samping golongan yang hanya mencari kesempatan berkuasa tanpa dasar dan hala tuju yang benar-benar menyelamatkan rakyat dan negara bersama Islam,” katanya.
Abdul Hadi turut menegaskan, parti itu tidak akan bersama pemimpin pembangkang yang menjadi punca kepada masalah dan penyakit terpaksa dihadapi negara. – BERITA HARIAN
KOMEN