Jawatankuasa Ijtihad dan Fatwa Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia telah mengeluarkan fatwa berkaitan serangan ganas ke atas Gaza dan pelanggaran gencatan senjata oleh puak Zionis. Fatwa itu menggariskan kewajipan berjihad dengan senjata terhadap penjajahan di Palestin ke atas setiap Muslim, yang berkemampuan di dunia Islam. Ia juga meletakkan kewajipan campur tangan ketenteraan dengan segera ke atas negara-negara Arab dan Islam.
Namun adakah fatwa ini akan disahut oleh dunia Islam. Sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah, dunia Islam telah secara sistematik berpecah-belah, tidak stabil, dan hilang taring ketenteraan. Situasi ini bukan satu kebetulan, tetapi adalah hasil daripada strategi geopolitik jangka panjang – dirancang dan dilaksanakan oleh kuasa penjajah, Zionis dan imperialis. Objektif mereka adalah untuk memastikan entiti Islam yang bersatu, berdaulat dan berkuasa, tidak akan bangkit semula.
Walaupun negara majoriti Islam memiliki sumber semula jadi yang besar, lokasi strategik, dan populasi muda yang ramai, mereka kekal antara daerah yang paling lemah dari segi politik dan ketenteraan. Justeru bagaimanakah kuasa kolonial dan zionis Barat berjaya memecahkan kuasa Islam?
Pertama, kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah oleh Mustafa Kemal Atatürk bukan sekadar pengakhiran sebuah empayar; tetapi menandakan kemusnahan sebuah institusi politik dan rohani yang telah menyatukan lebih 1 bilion umat Islam. Ia telah menciptakan kekosongan kuasa besar di dunia, yang kemudian diisi oleh kuasa penjajah Barat.
Melalui Perjanjian Sykes-Picot, British dan Perancis memecahkan dunia Islam menjadi negara-negara yang identitinya rapuh dan sekular. Kebanyakkan negara ini kemudian diperintah oleh diktator atau rejim tentera yang hanya setia kepada kekayaan peribadi dan kepentingan asing.
Kedua, untuk memastikan dunia Islam kekal tidak bersatu, perpecahan mazhab dieksploitasi. Sunni lawan Syiah, Arab lawan bukan Arab, Parsi lawan Turki, semuanya memuncak hingga pertempuran bersenjata. Pentadbiran kolonial di Iraq, Syria, dan Lubnan menginstitusikan politik sektarian. Dalam era pasca kolonial, pendekatan ini diteruskan melalui proksi tempatan dan rejim yang disokong Barat. Pecah dan Perintah menjadi modus operandi tangan-tangan disebalik kuasa rejim.
Ketiga, mana-mana negara Islam yang berani perjuangkan pembebasan tentera atau kepimpinan serantau, telah disasarkan secara sistematik. Iraq dihancurkan semasa Perang Teluk 1991-2003. Libya dijerumuskan ke dalam perang saudara pada tahun 2011. Pakistan, negara Islam yang mempunyai senjata nuklear, diberi tekanan berterusan dan ketidakstabilan dalaman. Setiap negara Islam yang mengejar kedaulatan, kekuatan ketenteraan, atau kemerdekaan ideologi menjadi sasaran.
Keempat, sementara sekutu Barat seperti Israel dan India membina senjata sendiri tanpa kawalan, negara-negara Islam ditekan supaya melucutkan kuasa pembinaan senjata. Jualan dan pembelian senjata masih bebas di negara-negara Islam ini, supaya negara-negara Islam sentiasa bergantung kepada pengeluar Barat.
Kelima, institusi kewangan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia menguatkuasakan reformasi struktur yang melemahkan kedaulatan negara yang meminjam seperti: Mengurangkan pembelanjaan sektor awam dan meningkatkan pengangguran. Penurunan nilai mata wang dan perangkap hutang. Penswastaan industri utama sesebuah negara Islam kepada firma asing. Reformasi ekonomi ini memastikan negara Islam yang kaya dengan sumber masih bergantung, berhutang, dan tidak dapat membiayai program ketenteraan atau teknologi yang bebas sepenuhnya.
Keenam, pemimpin Islam yang mengikuti telunjuk Barat diberi ganjaran dan perlindungan, pelaburan dan penerimaan antarabangsa. Mereka yang menentang akan digulingkan. Morsi di Mesir telah dipilih secara demokrasi, tetapi disingkirkan dalam rampasan kuasa yang disokong oleh kuasa Barat. Imran Khan di Pakistan ditekan dengan taktik perubahan rejim. Erdogan berhadapan beberapa cubaan rampasan kuasa selepas membantah hegemoni Amerika Syarikat.
Ketujuh, Israel, sebuah negara apartheid bersenjata nuklear, melanggar undang-undang antarabangsa setiap hari – tanpa dikenakan hukuman. Sementara itu, negara-negara serantaunya masih bergelutan dalam krisis yang berterusan. Logiknya adalah strategik, dunia Islam yang berpecah-belah tidak akan timbulkan ancaman kepada kuasa Zionis Israel atau sekutu Baratnya.
Kemusnahan Iraq dan Syria mengeluarkan pemain utama dari paksi yang menentang mereka. Kejatuhan Libya menghapuskan pencabar pan-Afrika. Krisis Sudan membahagikan Afrika-Arab kepada dua. Palestin masih dikepung, dengan hampir tiada sokongan tentera atau politik yang diselaraskan dari dunia Islam.
Fatwa yang diumumkan ini dilihat sebagai usaha menggerakkan kesatuan umat Islam sejagat bukan sahaja dari sudut rohani, tetapi juga dari segi tekanan politik dan ekonomi terhadap rejim Zionis yang sedang menghadapi penentangan global. Dengan suara ulama-ulama berwibawa dan pengaruh umat Islam seluruh dunia, seruan jihad ini membawa mesej bahawa pembelaan terhadap Gaza bukan lagi pilihan, tetapi kewajipan setiap Muslim yang mengimani keadilan dan kemanusiaan.
Sudah menjadi sebahagian dari sunnatullah iaitu Allah menjadikan golongan kafir menyerang umat Islam ketika memasuki Ramadhan, oleh kerana kebencian mereka terhadap Islam dan umatnya. Mereka golongan kuffar menyangka ummah dalam keadaan lemah pada bulan Ramadhan. Inilah sebahagian dari ujian Allah untuk memaparkan siapa benar-benar beriman.
Lantaran itulah banyak ma’rakah atau peperangan berlaku pada bulan ramadhan. Inilah sedang kita saksikan serangan terhadap saudara kita di Palestine. Tiada jalan lain bagi negara, pemimpin dan umat Islam melainkan kembali kepada aturan sunnatullah untuk membulatkan tekad, semangat dan daya upaya rekayasa kekuatan dan bangkit menghadapi ujian ini. Umat Islam perlu menunjuk golongan kuffar bahawa Iman umat islam bukan buih-buih di lautan.
Maka bangunlah wahai Mesir, Jordan, Saudi, Iraq, Syria, Lubnan, Yaman, Tunisia, Algeria, Iran, Indonesia, Malaysia dan ummah di seluruh dunia. Betapa tumpulnya fatwa Kesatuan Ulama’ Muslimin Sedunia jika tiada penguasa dan pemimpin Islam yang mampu melaksanakannya. Apa yang ada pada individu dan harakah serpihan tanpa arus gelombang ummah. Kerana itulah fatwa yang utama yakni mendirikan khilafah islamiyyah telah digagalkan oleh musuh. Hatta untuk dirikan daulah islamiyyah, walau kecil sekalipun, diusut sehingga hancur.
Sayangnya rata-rata ummah hari ini seumpama menerimanya kejadian ini sebagai ‘fait accompli’, mengambil sikap ‘sudah nasib badan’, kerana runtuhnya ruh dari Arkanul islam, Arkanul Iman dan ruh Arkanul Ihsan. Kembalikan tarbiyatul arwah ini dengan, ilmu, amal, adab, keikhlasan, sabar, keyakinan tawakal dan islah. Semoga dengannya, ummah akan kembali segar, dan dibarisi para salihin, siddiqin, syuhada, muqorrobin, syakirin, sabirin, muqinin, dan mutawakkilin.
Pemimpin negara-negara Islam perlu menyediakan segala keperluan dan beri fokus kepada membina semula kekuatan asas serta bangunan fizikal, intelektual, dan ruhani untuk generasi ummah akan datang. Hal ini supaya umat Islam akan berjaya meruntuhkan semua blueprint strategi musuh Islam, dan kembalikan dunia menjadi hamparan sejadah bagi seluruh umat manusia, yang tunduk patuh dan mengabdikan diri kepada Sang Pencipta.
Oleh: Ibnu Majid
KOMEN