Home » Langit Terbuka » Wajib bayar zakat bisnes online

Wajib bayar zakat bisnes online

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff.

KUALA LUMPUR – Masyarakat Islam yang menjana pendapatan sambilan secara atas talian atau ‘online’ juga tidak terkecuali daripada kewajipan menunaikan zakat yang tergolong sebagai zakat perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Pungutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Ahmad Shukri Yusoff berkata, perniagaan ‘online’ juga, walaupun tidak berdaftar sebagai sebuah syarikat atau tidak mempunyai modal seperti menjadi ‘dropship’ produk, wajib menunaikan rukun Islam ke tiga itu.

Menurut beliau, ini termasuklah perniagaan berasaskan barangan atau perkhidmatan, ‘drop ship’ atau orang tengah selain syarikat seperti persendirian, perkongsian, koperasi, saham, perbankan dan seumpamanya yang memenuhi syarat-syarat dikenakan zakat.

“Syarat-syarat zakat adalah Islam, merdeka, cukup haul, cukup nisab bersandarkan harga 85 gram emas (RM14,772), sempurna milik, niat berniaga, harta dan perkhidmatan halal serta harta yang produktif.

“Jika tiada akaun khusus seperti mendapat upah menjadi ‘dropship’ menjual produk secara ‘online’ tanpa mempunyai modal, zakat masih wajib dan ia perlu dikira menggunakan kaedah tertentu.

“Sebab itu, kita nasihatkan peniaga-peniaga online ini supaya menghubungi PPZ-MAIWP di talian 1300 88 5757 untuk penerangan terperinci bagi memahami lebih jelas tentang kewajipan zakat terhadap mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, zakat perniagaan adalah tunjang keberkatan rezeki yang telah dijanjikan Allah SWT yang akan melipat gandakan lagi pendapatan diterima pembayar zakat.

Jelasnya, pihaknya akan terus melakukan kempen kesedaran zakat melalui program turun padang bagi membantu golongan sasaran memahami seterusnya menunaikan kewajipan terhadap golongan asnaf.

“Suka saya menyarankan kepada golongan sasar ini agar tidak mempunyai sebarang persepsi yang mereka tidak wajib berzakat selagi mereka memperoleh pendapatan daripada urus niaga.

“Sebaik-baiknya, semak dahulu dengan pihak PPZ-MAIWP untuk mengetahui sama ada ada zakat itu diwajibkan ke atas mereka atau tidak,” katanya.

Jelas beliau lagi,  zakat sebenarnya adalah formula Islam untuk menjana pendapatan umatnya dan bukanlah dilihat akan merugikan peniaga walaupun membabitkan peniaga sambilan secara kecil-kecilan.

“Setakat ini, belum pernah lagi berlaku kes peniaga bertambah susah hanya dengan membayar zakat peniagaan, sebaliknya perniagaan mereka bertambah maju dan berkembang.

“Kadang-kadang kita merungut perniagaan tidak begitu baik, sedangkan kita sebenarnya terlupa melakukan usaha kecil tetapi memberi impak besar iaitu menyucikan harta itu melalui keberkatan dengan membayar zakat,” katanya.

Jelasnya, untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian zakat 1300 88 5757, mengunjungi 11 kaunter zakat PPZ-MAIWP untuk bantuan secara terus, melayari portal zakat.com.my atau Facebook PPZ-MAIWP Pusat Pungutan Zakat. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *