Home » Kenyataan Media » VIDEO MUZIK HARI RAYA BERUNSUR LGBT CEMAR KESUCIAN RAMADAN

VIDEO MUZIK HARI RAYA BERUNSUR LGBT CEMAR KESUCIAN RAMADAN

YADIM ingin menyatakan kekesalan atas penyebaran video muzik hari raya seorang usahawan kosmetik terkenal baru-baru ini.

Video muzik yang secara jelas mempromosi budaya songsang LGBT tersebut bukan sahaja menganggu sensitiviti rakyat di negara ini bahkan lebih parah dari itu telah mencemarkan kesucian Bulan Ramadan yang telah memasuki fasa 10 malam terakhir kini.

Tumpuan umat Islam yang sewajarnya diberikan untuk memburu Lailatul Qadar dalam tempoh ini seakan cuba diganggu dengan penyebaran video muzik bertaraf sampah seperti ini.

Usahawan yang terkenal konsisten dalam mengeluarkan kandungan-kandungan medianya yang menyinggung sensitiviti rakyat sebelum ini dilihat telah melampaui batasan norma murni masyarakat di Malaysia dengan mengeluarkan video muzik yang mengangkat budaya LGBT yang bukan sahaja dipandang jijik oleh ajaran Islam, bahkan menyongsang arus budaya sebenar masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia.

Justeru YADIM ingin menyeru kepada pihak berkuasa terutamanya pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) yang mempunyai bidang kuasa yang jelas dalam mengawal selia kandungan siber di negara ini untuk mengambil tindakan yang paling tegas terhadap penyebaran video muzik tersebut.

Kita tidak boleh mengizinkan video songsang tersebut dihidangkan sebagai halwa hiburan hari raya kita di Malaysia terutamanya kepada anak-anak dan golongan muda.

YADIM juga ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya warga pengguna untuk menunjukkan sikap dan kuasa pengguna kepada usahawan produk kecantikan ini yang saban kali mengeluarkan kandungan yang bukan sahaja kelihatan memperbodohkan diri sendiri bahkan merendah-rendahkan akal budi rakyat di negara ini.

Warga pengguna sewajarnya memberikan respon yang tegas meskipun dapat dijangka kita mungkin akan disajikan sekali lagi dengan “drama air mata” permohonan maaf oleh usahawan ini sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Rakyat mesti menolak sikap matlamat menghalalkan cara ini dalam meraih populariti dan laba perniagaan secara murahan.

YADIM amat mengalu-alukan untuk bersama dengan penggiat seni yang lain dalam menyatakan bantahan terhadap tindakan yang menjatuhkan imej seni tanah air yang mungkin dijadikan alasan dangkal usahawan ini dalam menerbitkan video muzik picisan seperti ini.

Akhir sekali, YADIM ingin menyeru seluruh umat Islam di negara ini untuk memanfaatkan tempoh 10 akhir Ramadan ini untuk bermunajat kepada Allah SWT agar diterima segala amal ibadah kita semua, diampunkan segala dosa, dijauhkan dari segala unsur songsang yang merosakkan dan digagalkan sesiapa sahaja yang berbuat sedemikian.

 

 

 

 

Moga apabila kita menyambut Hari Raya kelak, kita akan menepati maksud sebenar Aidil Fitri iaitu Kembali Kepada Fitrah Kemanusiaan dan Kehambaan kita dan bukan sebaliknya yang pasti akan mengundang murka Allah SWT.

YANG DIPERTUA YADIM
USTAZ NASRUDIN HASSAN
24 APRIL 2022

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *