Home » Persuasif » Vape membenarkan kemahuan?

Vape membenarkan kemahuan?

sumber

Nampaknya, isu yang paling hangat diperkatakan sekarang sudah tentu isu vape atau rokok elektronik yang melalui pernyataan yang berbeza sama ada daripada pihak menteri, Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan Malaysia. Apatah lagi daripada pihak pengguna vape dan penjualnya. Sudah tentu mereka menolak pendirian Majlis Fatwa dan KMM dan menyambut baik pula sokongan yang diberikan daripada pihak kepimpinan.

Terdiam seketika. Alasan yang menyatakan bahawa vape adalah aspirasi untuk kaum muda sebenarnya amat mengelirukan. Bagaimanakah bentuk aspirasi yang dinyatakan itu? Adakah dengan alasan tersebut golongan muda yang dikatakan bakal mewarisi teraju kepimpinan negara suatu hari nanti ini akan memiliki jati diri yang tinggi untuk memajukan negara bangsa ini?

Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa untuk kemaslahatan ummah. Ini kerana sudah jelas vape ini walaupun katanya boleh membantu golongan perokok untuk berhenti daripada merokok. Tetapi bukankah menghisap vape itu boleh juga menjadi gejala dan budaya yang sukar ditinggalkan? Bukankah menghisap vape itu juga menggunakan paru-paru yang sama walaupun dipertahankan dengan alasan bahan yang dihisap hanyalah wap air yang mengandungi food grade.

Kesannya amat jelas iaitu pertama, ia membahayakan, kedua ia membazir dan ketiga memudaratkan daripada segi kesihatan. Kenapa negara yang mengangkat Islam sebagai agenda utama menyokong penggunaan vape yang telah ditolak oleh Argentina, Brazil, Hong Kong, United Arab Emiriah, Singapura, Iran, Arab Saudi dan Panama?

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Al-Baqarah 2: 195)

Sememangnya vape, rokok mahupun shisha tidak memberikan sebarang manfaat melainkan keseronokan dan pembaziran semata-mata. Lebih menyesakkan apabila asap yang dihembus mengganggu orang di sekeliling. Adakah orang muda yang harus diraikan keinginan mereka?

Pernyataan ini pasti berbeza dengan golongan yang menghisap vape, rokok ataupun shisha ini kerana mereka sebolehnya akan mempertahankan tindakan dengan pelbagai alasan untuk menghalalkan tabiat mereka.

Bukankah lazimnya begitu? Disebabkan perkara itu adalah perlakuan kita sendiri walaupun dikatakan salah tetapi sebolehnya akan kita pertahankan dan merasakan apa yang kita lakukan adalah betul.

Begitulah sifat manusia itu. Apa yang dilarang itulah yang mahu dilakukan. Sebagaimana anak-anak yang mahu bermain dengan gunting tetapi dilarang kerana bimbang akan terluka. Namun, mereka tetap mahukan gunting itu kerana mahu bereksperimen. Sudah tahu sakit baharu menangis dan berasa serik.

Isu vape ini adalah isu yang semakin mengundang kebimbangan di kalangan masyarakat terutama ibu bapa yang masih mempunyai anak-anak kecil dan remaja. Melihat kaum lelaki menghisap vape sesuka hati di tempat terbuka sudah mendatangkan rasa jengkel apatah lagi apabila melihat kaum wanita yang dijulang kerana kesantunan mengepul-ngepul asap vape begitu juga menakutkan jika melihat anak-anak di bangku sekolah ikut terpengaruh. Dunia sekarang penuh dengan pengaruh negatif yang sukar dikawal.

Sejarah penciptaan vape dikatakan bermula pada tahun 1963 oleh Herbert A. Gilbert yang telah mempatenkan rokok elektrik pertama tetapi ciptaan tersebut tidak dikomersilkan. Kemudian pada tahun 2003, seorang ahli farmasi dari negara Cina iaitu Hon Lik telah menemui formula untuk menghasilkan vapor. Katanya, idea penemuan tersebut terhasil daripada mimpinya sendiri. Hon Lik telah menjadikan bapanya yang merupakan perokok tegar dan penghidap kanser paru-paru sebagai pengguna pertama.

Mungkin pada ketika itu, bahan yang dihasilkan benar-benar asli. Yang ditakuti adalah bahan yang ada dalam vapor pada hari ini yang dikhuatiri mengandungi bahan merbahaya dan juga boleh mengakibatkan pengambilan berlebihan.

Kesannya mencakupi pelbagai aspek sebenarnya. Antara kita mahu menyedarinya ataupun tidak. Kalau kita mengabaikannya kerana mahu meraikan kemahuan kita semata-mata, maka tiadalah lagi rasa mahu menjaga kemaslahatan golongan lain apatah lagi dalam memelihara agama Islam yang sentiasa menyeru kepada menjauhi perkara-perkara yang memudaratkan diri sendiri dan orang lain.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *