PUTRAJAYA – Keadilan dalam sesuatu perkara hendaklah terlebih dahulu diutamakan berbanding hendak menyamaratakan semuanya.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Profesor Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi dalam program Majlis Syarahan Perdana Kebangsaan : Pendekatan Rahmatan Lil Alamin Dalam Konteks Masyarakat Majmuk di Malaysia di pejabat Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini hari ini (15 November).
Beliau mengulas mengenai desakan untuk menandatangani Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang kini hangat diperkatakan.
“Ia seumpama bermain bola sepak di padang yang tidak rata. Saya juga suka sebutkan, keadilan itu ialah meletakkan sesuatu di tempat yang sepatutnya.
“Kalau ambil contoh hendak memberi makanan, ada yang perlu makan lebih banyak, ada yang perlu sedikit, ada yang masih kenyang, jadi kalau kita beri sama rata pada semua orang, ia sudah tentu tidak adil,” kata beliau.
Tambah Mahmood, pendekatan sama rata yang diperjuangkan oleh pihak pihak tertntu itu akan merubah status quo yang sedia ada di negara ini.
“Yang kita bimbang ialah, dalam usaha hendak memenuhi pendekatan ini, masyarakat kita akan gagal,” jelas beliau.
Majlis Syarahan Perdana hari ini disertai oleh para professor, pensyarah, wakil wakil mahasiswa serta wakil wakil jabatan.
Ia dianjurkan oleh Dewan Siswazah, Majlis Dakwah Negara.
Sementara itu, menyentuh mengenai topik syarahannya, Mahmood berkata, menurut sahabat yang rapat dengan Baginda Nabi Muhammad SAW, Rahmatan Lil Alamin itu ditafsirkan sebagai ‘rahmat kepada semuanya,Islam dan bukan Islam’.
Beliau turut menggesa supaya dalam usaha negara hendak memerkasakan Islam, ilmu ilmu Islam itu hendaklah dilaksanakan mengikut zaman dan realiti.
KOMEN