Home » Langit Terbuka » Ustaz teruja terjun laut

Ustaz teruja terjun laut

Seramai 15 pegawai agama termasuk Kadi Besar Johor, Sahibul Fadhilah Ahmad Faisal Mohamad; Imam Besar Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Ahmad Hanif Naim serta kadi-kadi serta pegawai agama lain turut serta mengikuti kursus selam skuba di Pulau Tinggi. Foto Sinar Harian.

MERSING – Tiada kata terlambat untuk mencuba sesuatu yang baharu. Ini dibuktikan sekumpulan pegawai agama negeri ini yang menyahut cabaran melihat dunia di dasar laut dengan menyelam.

Rata-rata mengakui cabarannya luar biasa memandangkan mereka belum pernah mencuba aktiviti itu sebelum ini.

Timbalan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, pengalaman yang diperoleh begitu berbeza.

“Kami jalani latihan awal di kolam renang sebelum sambung tiga hari di Pulau Tinggi.

“Pengalaman itu sangat berbeza. Ketika dalam kolam renang tiada angin, arus atau ombak, tapi ketika di laut, arusnya agak kuat memandangkan masih dalam tempoh monsun.

“Tapi jurulatih dan buddy sentiasa bersama-sama di dalam air,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Pulau Tinggi, baru-baru ini.

Seramai 15 pegawai agama negeri Johor mengikuti kursus selam skuba di Pulau Tinggi, baru-baru ini.

Yahya melalui pengalaman mendebarkan apabila hampir pitam ketika sedang menjalani latihan di dalam air.

“Ketika itu saya kurang sihat memang ketika itu saya gelap mata beberapa kali, tapi syukur segera dibantu orang sekeliling.

“Pengalaman itu memang luar biasa. Manusia ini apabila tercabar di lautan, timbul keinsafan atas nikmat.

“Apabila kita terdesak di dalam air, pengharapan kepada ALLAH itu tiada tandingannya. Kita betul-betul berserah kepada ALLAH,” katanya.

13 tahun simpan hasrat menyelam

Sementara itu Kadi Daerah Segamat, Baharin Jalal pula berkata, beliau menyimpan hasrat untuk menyelam sejak 13 tahun lalu.

“Tahun 2005 saya bertugas di Mersing dan ketika itu memang nak sangat cuba menyelam tapi masa itu menyelam belum popular.

“Peluang pun tak ada masa itu jadi saya pendam saja hasrat nak menyelam. Apabila dapat peluang kali ini, saya memang tak lepaskan,” katanya yang berhasrat mengajak ahli keluarganya turut mencuba aktiviti itu.

Menurutnya, dengan menyelam keberanian sebenar diri sendiri diuji.

“Bernafas menggunakan mulut itu perkara baharu yang sukar sebenarnya, tapi pengalaman itu begitu berharga.

“Di dalam air itulah keberanian sebenar saya diuji. Sejauh mana kita berani sebab apabila di bawah kita hanya berserah kepada ALLAH selain bergantung pada teknik yang diajarkan jurulatih,” katanya.

Beliau begitu menantikan saat untuk pergi menyelam di Pulau Sipadan tidak lama lagi.

Seramai 15 pegawai agama termasuk Kadi Besar Johor, Sahibul Fadhilah Ahmad Faisal Mohamad; Imam Besar Negeri Johor, Sohibul Fadhilah Ahmad Hanif Naim serta kadi-kadi serta pegawai agama lain turut serta mengikuti kursus selam skuba di Pulau Tinggi. -SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *