Home » Langit Terbuka » Ustaz Don sudah bertemu KP JAKIM – Mohd Na’im

Ustaz Don sudah bertemu KP JAKIM – Mohd Na’im

PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah memanggil Ustaz Don Daniyal Don Biyajid bagi mendapatkan perincian berhubung kontroversi yang dikaitkan dengannya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, penceramah selebriti itu juga telah diberikan nasihat dan teguran.

“Memang Ustaz Don telah dipanggil dan telah bertemu dengan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakiman Mohd Yusof dan juga salah seorang ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan iaitu Ustaz Ahmad Fawwaz.

“Pertemuan itu memang telah berlangsung dan saya sebut (pertemuan) ini sangat penting.

“Maknanya JAKIM sebagai institusi agama memainkan peranan dan saya kata kalau kita silap dalam sesuatu perkara tak salah kalau kita memohon maaf dan kita terima teguran daripada orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni sebuah keluarga asnaf pada Program Ziaraf Asnaf Bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di sini, hari ini

Mohd Na’im menjawab pertanyaan wartawan susulan kenyataannya sebelum ini yang mahu memanggil Ustaz Don susulan kontroversi agama melibatkan dirinya.

Beliau sebelum ini memaklumkan pertemuan itu tidak perlu diadakan secara serius, sebaliknya berkonsepkan santai bagi merungkai permasalahan yang berlaku.

Mohd Na’im turut menasihati agamawan supaya berhati-hati dalam menyampaikan ceramah termasuk menyemak hadis bagi memastikan kesahihan.

Di samping itu, katanya, umat Islam perlu ada sifat tawaduk dan rendah diri untuk menerima dan mengaku jika melakukan kesilapan tidak kira sebesar mana kesilapan dilakukan.

Penceramah selebriti itu direhatkan susulan pertikaian di media sosial berkaitan kisah hidup Nabi Muhammad SAW hingga mengundang pelbagai kritikan daripada beberapa pihak.

Sebelum ini beberapa pihak termasuk pengguna media sosial mempertikaian dakwaan Don Daniyal di sebuah stesen radio mengenai kisah cinta pertama Nabi Muhammad.
Dalam program berkenaan, Don Daniyal mendakwa Nabi Muhammad pernah melamar seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Hani sebanyak tiga kali.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata kisah Nabi Muhammad melamar Ummu Hani adalah benar sewaktu wanita itu baru memeluk Islam tetapi hanya berlaku sekali sebagaimana yang diriwayat dalam Sahih Muslim.

Sehubungan itu dakwaan dua lamaran berlaku sebelum memeluk Islam adalah tidak diterima kerana sanad riwayatnya terlalu lemah dan tidak layak dijadikan sandaran.

Susulan kontroversi tersebut, Radio Televisyen Malaysia (RTM) ‘merehatkan’ Ustaz Don daripada program Salam Baitullah yang bersiaran pada musim haji bermula 2 hingga 17 Jun. – MalaysiaGazette

Artikel Berkaitan

‘Tahniah Dr Sirajuddin’ – Anwar

Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *