NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Kumpulan Penyelidik, Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) menghasilkan Aplikasi Al-Quran Isyarat yang pertama seumpamanya, bagi pengguna catat pendengaran.
Aplikasi yang menyokong peranti android ini juga, mampu menjadi model aplikasi mesra Orang Kurang Upaya (OKU) pekak di peringkat antarabangsa.
Ketua Projek, Norakyairee Mohd Raus berkata, inovasi terkini itu dicipta, bagi meraikan kekuatan visual komuniti pekak, dengan elemen kedudukan dan teks ayat serta kod Hijaiyyah Arab, terjemahan rumi yang mendapat kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan.
“Terjemahan tafsir mesra OKU pekak ini juga dikombinasikan dengan bantuan jurubahasa isyarat. Kini, sebanyak 11 surah telah siap dibangunkan dan masih memerlukan dana bagi 103 surah yang lain,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini (4 Oktober).
Projek Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa sempena penganjuran Karnival Rahmah 2019 (KR19) di Dataran Putrajaya pada 27 Sept lepas.
Norakyairee berkata, aplikasi ini mensasarkan keseluruhan al-Quran dengan pendekatan wakaf tunai RM1,000 bagi setiap halaman dan pembangunan keseluruhan 30 juz Al-Quran berjumlah RM604,000, manakala kos perkhidmatan dan latihan berjumlah RM396,000.
Tambahnya projek wakaf tunai telah dilaksanakan bagi menjayakan inovasi ini, serta turut mendapat kerjasama Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Persatuan Orang Pekak Negeri Sembilan (NESDA) dan Yayasan Pendidikan Al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) serta Cyber Security and System Centre (CSS) USIM.
Katanya, usaha ini adalah selaras dengan hasrat USIM sebagai kampus barakah, dalam menerajui konsep universiti untuk komuniti berasaskan pendekatan integrasi ilmu Naqli dan Aqli.
Pada majlis pelancaran aplikasi itu juga, Mujahid turut menyerahkan mock cheque berjumlah RM100,000 dari Yayasan Taqwa sebagai dana awal pembangunan Projek Wakaf Aplikasi Al-Quran Isyarat bagi OKU pekak.- Bernama
KOMEN