Home » Langit Terbuka » Usaha serap guru Kafa ke jawatan tetap di tahap akhir, kata Fuziah

Usaha serap guru Kafa ke jawatan tetap di tahap akhir, kata Fuziah

Dianggarkan 31,460 guru Kafa bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis Kafa di seluruh negara ketika ini.

KUANTAN – Usaha menyerap guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) ke skim jawatan tetap kini di peringkat akhir, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh.

Katanya, kertas kerja cadangan itu sudah disiapkan dan pihaknya dalam usaha mendapatkan maklum balas, selain berunding dengan pihak berkepentingan dalam isu itu.

“Rundingan melibatkan aspek pelaksanaan dan pada Isnin ini, kita juga akan berbincang dengan ahli Parlimen,” katanya selepas merasmikan Pameran Malaysia Baru sempena Pertandingan Pengisahan Kenegaraan Peringkat Pahang 2019 anjuran Jabatan Penerangan.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan, Mohd Sukari Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Mohd Salmun Mustafa.

Media sebelum ini melaporkan cadangan lantikan guru Kafa ke skim perjawatan tetap itu dijangka dibentangkan ke Kabinet bulan ini dengan jangkaan ia dapat diselesaikan selewat-lewatnya tahun depan.

Dianggarkan 31,460 guru Kafa bertaraf kontrak berkhidmat di 5,609 premis Kafa di seluruh negara ketika ini.

Sementara itu, Fuziah berkata, pertandingan pengisahan kenegaraan membabitkan generasi muda, khususnya pelajar sekolah dapat meningkatkan jati diri dan semangat patriotik dalam diri mereka.

“Peserta juga berpeluang menjelaskan nilai positif dalam menghargai pengorbanan tokoh negara kepada masyarakat dan mengambil teladan daripada sejarah untuk sama-sama membantu mempertahankan kedaulatan negara.”

Program selama 3 hari yang bermula 12 Julai itu turut memberi peluang kepada agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuka ruang pameran bagi mendekati masyarakat serta golongan sasar. – FreeMalaysiaToday

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *