RIYADH 20 Mei – Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Sidang Kemuncak Negara-Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat di sini akan memperbaharui dan memberi tenaga baharu kepada persahabatan serta menghasilkan hala tuju baharu untuk kerjasama, keselamatan dan persefahaman.
Perdana Menteri percaya persidangan yang bermula esok dan dianggap bersejarah oleh kerajaan Arab Saudi itu tepat pada masanya dan merupakan satu usaha penting untuk membawa hubungan antara dunia Islam dan Amerika Syarikat ke tahap baharu.
“Melalui persefahaman yang lebih besar, negara-negara berkenaan boleh bekerjasama dengan lebih baik bagi menentang kejahilan, penyisihan dan rasa tidak puas hati yang boleh membangkitkan keganasan,” katanya.
Merujuk kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam persidangan itu, beliau berkata, Trump komited untuk menghapuskan Daesh.
“Begitu juga Malaysia di bawah kepemimpinan saya – sama juga melangkaui semua negara Islam pada sidang kemuncak ini,” katanya dalam artikel bertajuk ‘Ini adalah masanya untuk sebuah perkongsian memerangi keganasan’ yang diterbitkan dalam akhbar Saudi Gazette dan Al Riyadh.
Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini tengah hari tadi waktu tempatan bagi menerima undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud untuk menghadiri sidang kemuncak itu yang dianggap bersejarah dengan kehadiran sulung Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump selepas mengambil alih White House Januari lalu.
Ketibaan Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Pangkalan Udara Raja Salman disambut oleh Naib Gabenor Riyadh, Putera Mohammed bin Abdulrahman.
Turut sama menyambut Perdana Menteri ialah Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Zainol Rahim Zainuddin.
Terdahulu, Trump diberi sambutan permaidani merah bersama isterinya, Melania Trump yang disambut oleh Raja Salman.
Selain Raja Salman, Trumph, beberapa pemimpin lain termasuk Najib akan turut berucap mengenai isu-isu berkaitan keselamatan dan keganasan.
Mengulas lanjut dalam artikel berkenaan, Najib merasa amat gembira dapat menyertai persidangan disebabkan Malaysia turut senada dengan tujuan sidang itu untuk meningkatkan toleransi dan kewujudan bersama serta meningkatkan keselamatan, kestabilan dan kerjasama.
“Kita mesti menunjukkan bahawa kita sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan keganasan secara pantas dan tegas di mana sahaja dan pada bila-bila masa. Kita tidak boleh menyerah kalah,” kata Najib yang akan turut berucap dalam persidangan itu.
Katanya, terpulanglah kepada semua yang hadir pada sidang kemuncak itu untuk menjalin kerjasama dan membuktikan sekali dan untuk semua, bahawa tidak ada pertembungan tamadun, dengan dunia Islam di satu pihak dan Barat di pihak yang lain.
“Kita semua – penganut semua agama – perlu bersatu, tegas, bertekad dan sedia bertindak,” tegas Perdana Menteri.
Beliau juga menjelaskan bahawa Malaysia komited sepenuhnya untuk memerangi ancaman keganasan.
Di Malaysia katanya, bagi mengukuhkan keharmonian, kerajaan telah mempromosikan konsep wasatiyyah, iaitu kesederhanaan menurut al-Quran, dan usaha itu ditingkatkan lagi dengan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman di Kuala Lumpur.
“Selaku anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia menyokong sepenuhnya usaha PBB seperti pelan tindakan Setiausaha Agung dalam mencegah keganasan, yang menggesa kepada perkongsian risikan dalam kalangan negara anggota,” katanya. – MINGGUAN MALAYSIA
KOMEN