Home » Langit Terbuka » Usaha Kurangkan Jurang Hasil GST, SST

Usaha Kurangkan Jurang Hasil GST, SST

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, usaha itu termasuk mencari tambahan RM3 bilion daripada kehilangan hasil import eksport negara.

PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) akan giat menggerakkan usaha mengurangkan jurang perbezaan hasil antara cukai barang dan perkhidmatan (GST) dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam berkata, usaha itu termasuk mencari tambahan RM3 bilion daripada kehilangan hasil import eksport negara.

Ke arah itu, beliau berkata, pihak kastam akan mengeluarkan hasil dasar (policy decision) dalam masa terdekat ini berhubung langkah seterusnya dalam memantapkan serta menambah hasil negara.

“Kita perlu mengurangkan jurang cukai ini. Kemudian, (kita memfokuskan) dari segi aspek pematuhan GST. Memang kita ada banyak syarikat yang tidak berikrar dengan sebenar-benarnya jadi kita akan membuat ‘closure audit’.

“Melalui itu kita akan dapatkan jumlah-jumlah tertentu. Semua langkah-langkah ini sedikit sebanyak akan membantu kerajaan untuk mengurangkan perbezaan hasil antara GST dan SST,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang anggota panel dalam Program Bicara Sarapan Pagi ‘Membanteras Ketirisan Hasil Negara’ di Ibu Pejabat Kastam, di sini hari ini.

Selain Subromaniam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamsun Baharin Mohd. Jamil serta Presiden Transparency International Malaysia, Datuk Akhbar Satar turut menjadi anggota panel program berkenaan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sebelum ini berkata, Akta SST yang akan dibentang di Parlimen bulan depan mencadangkan 10 peratus untuk cukai jualan dan enam peratus bagi perkhidmatan.

Jika akta tersebut diluluskan, katanya, pelaksanaan SST akan bermula 1 September depan dan dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini.

Hasil itu katanya, akan digunakan untuk menutup sebahagian kerugian selepas penetapan pengenaan kadar sifar GST bermula Jun lalu. – UTUSAN ONLINE

https://www.utusan.com.my/berita/nasional/usaha-kurangkan-jurang-hasil-gst-sst-1.711271#ixzz5LaMpTKcy

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *