KANGAR 6 Feb. – Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti, umat Islam dinasihatkan tidak melanggar larangan agama sehingga perjuangan ketika PRU menjadi satu dosa.
Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata dalam kesibukan semua pihak berkempen untuk kemenangan calon ataupun parti yang disokong, kadang-kala ada yang terlupa bahawa terdapat hukum agama wajib dipatuhi.
Katanya, antara pantang larang dalam agama yang sering dilanggar semasa pilihan raya adalah berlaku zalim dalam membuat penilaian terhadap pihak lawan.
“Ia penilaian yang tidak adil terhadap pihak dihadapi menyebabkan dipadamkan kebaikan yang ada dan dibesarkan kesilapan sekalipun kecil.
“Tujuannya, untuk menjatuhkan kredibiliti pihak lawan. Penilaian yang bercampur permusuhan dan benci menyebabkan segala kebaikan pihak lain tidak mahu kita lihat. Kemudian, kita pula cuba mempengaruhi orang lain untuk bersikap yang sama.
“Sementara, pihak yang disokong pula, jika melakukan kesalahan yang sama seperti pihak lawan, kita tidak mempertikaikan. Sebaliknya, kita mungkin cuba memberikan justifikasi yang tidak diberikan kepada pihak lawan sekalipun kadar kesalahan itu mereka sama,” katanya.
Asri, berkata dalam usaha menjatuhkan kredibiliti pihak lawan, seringkali berlaku pendedahan keaiban peribadi calon yang tiada kaitan dengan kepentingan umum.
“Perbuatan mendedahkan aib peribadi adalah dosa besar. Aib peribadi ialah maksiat seseorang dengan Allah tanpa membabitkan kezaliman ke atas pihak lain.
“Hanya melainkan jika kesalahan itu membahayakan pengundi, maka itu boleh diperkatakan dengan kadar keperluan sahaja tanpa dikaitkan dengan perihal yang tiada kepentingan awam,” katanya.
Beliau berkata, antara perkara lain yang ditegah oleh agama adalah mempercayai berita dari sumber palsu dan malampau dalam perkataan serta perbuatan semasa berkempen. – HARIAN METRO
KOMEN