GEORGETOWN 7 Mac – Polis meminta agar pihak yang tidak berkenaan termasuk media tidak membuat spekulasi terhadap kejadian culik Pastor Raymond Koh Keng Joo, Februari lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, spekulasi dan dakwaan yang dibuat menyukarkan polis dalam menjalankan siasatan selain membahayakan nyawa mangsa.
Khalid juga meminta media agar tidak menyiarkan terlalu banyak laporan sekiranya berlaku kejadian penculikkan seperti itu selain meminta orang ramai bertenang.
“Saya dah beberapa kali pesan, jangan buat andaian, kenyataan mahupun spekulasi apabila berlaku kejadian culik terutamanya yang melibatkan tebusan. Senang cakap, orang tidak berkenaan termasuk media, jangan cakap banyak. Biar polis jalankan siasatan.
“Dengan adanya spekulasi yang disiarkan, ia makin merumitkan polis untuk menjalankan siasatan. Kita dah ada pasukan khas untuk menyiasat, biarkan mereka jalankan tugas. Jangan menyusahkan mereka dengan maklumat yang tidak betul,” katanya kepada media Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa ke 34 (34th IDEC) di sini semalam.
13 Februari lalu, kira-kira 10 pagi, Raymond, 62, diculik sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya.
Polis kemudiannya mengesahkan ia merupakan penculikan terancang membabitkan tujuh kenderaan dan 15 individu bertopeng selain dipercayai merupakan kerja daripada kumpulan yang mahir dalam mengendalikan operasi khas.
Dalam perkembangan sama, Khalid turut menempelak seorang ahli Parlimen yang didakwa menawarkan diri untuk berunding dengan penculik Raymond.
Menurutnya, tindakan ahli Parlimen itu akan mengeruhkan lagi keadaan selain membahayakan nyawa mangsa.
“Dia (ahli Parlimen) nak terlibat sebagai apa? Nak jadi penyiasat? Dia nak berunding dengan siapa kalau tiada panggilan dari mana-mana pihak? Sebab itu saya cakap, duduk diam-diam. Biar polis siasat. Jika ada maklumat, salurkan kepada kita terus.
Jangan salurkan menerusi media.
“Lebih buruk lagi, mereka mengadakan perhimpunan solidariti untuk mangsa. Tindakan itu meletakkan nyawa mangsa dalam bahaya. Jangan bertindak selagi kita tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku melainkan anda memang mahu nyawa dalam bahaya,” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden Parti Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyatakan kesediaannya menawarkan diri untuk berunding dengan penculik Raymond demi menjaga nama baik Islam.
Dr Mujahid dalam satu kenyataan hari ini berkata, sekiraya ada dakwaan usaha pemurtadan ia perlu dibuktikan di mahkamah dan bukan diambil tindakan mengikut keputusan sendiri.- www.sinarharian.com.my
KOMEN