Home » Analitis » Usah politikkan musibah MH370

Usah politikkan musibah MH370

SELURUH rakyat Malaysia masih lagi dirundung kesedihan atas musibah kehilangan pesawat MH370 Sabtu lalu. Sehingga artikel ini ditulis, nasib pesawat yang membawa 239 penumpang masih belum diketahui.

Cuma apa yang dikesali masih ada segelintir yang seakan hilang pertimbangan akal budi dan kewarasan sensitiviti mengambil kesempatan buat komentar biadab dalam laman sosial. Tidak kurang juga berlagak seperti pak nujum membuat pelbagai andaian dan teori bagaikan mampu menerobos masuk ke alam ghaib menentukan kedudukan pesawat itu.

Lebih mendukacitakan apabila komentar berbaur tohmahan turut dilakukan segelintir pemimpin pembangkang yang sewenang-wenangnya mempermainkan musibah dalam status Twitter mereka. Ada yang mengaitkan musibah tersebut dengan malapetaka atas kezaliman yang kononnya direncanakan kerajaan terhadap pemimpin pembangkang itu. Sikap dan perangai seperti ini tentulah tidak cocok dengan status sebagai pemimpin.

Di manakah sensitiviti dan nilai kemanusiaan di saat rakyat meratapi tragedi dan berkongsi kesedihan dengan keluarga mangsa? Apakah kita terlalu paranoid berpolitik hinggakan hilang pertimbangan akal budi dalam membuat penilaian?

Hakikatnya mengaitkan keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan dengan tragedi kehilangan pesawat ini juga seperti kita tidak mengimani prinsip kepercayaan qada’ dan qadar yang menjadi asas penting dalam Rukun Iman.

Apatah lagi kempen mendakwa keputusan mahkamah adalah sebahagian daripada teori konspirasi kerajaan untuk mematikan karier politik pemimpin pembangkang merupakan satu bentuk fitnah dan tohmah yang jahat.

Kita tentunya tertanya-tanya mengapakah apabila mahkamah yang sama membuat pelbagai keputusan yang tidak menyebelahi kerajaan sebelum ini tidak pula dikaitkan dengan konspirasi bahkan dikatakan adil.  Apakah sebenarnya makna dan definisi adil bagi golongan seperti ini? Kalau beginilah makna dan prinsip keadilan dan kebenaran yang dipegang pastilah akan hancur masyarakat dan negara.

Firman ALLAH SWT: “Andai kata kebenaran itu menuruti hawa nafsu mereka, pasti binasalah langit dan bumi ini, dan semua yang ada di dalamnya. Sebenarnya Kami telah mendatangkan kepada mereka kebanggaan mereka (Al Qur’an), tetapi mereka berpaling daripada kebanggaan itu.” (Surah Al-Mu’minun : 71)

Sebagai Muslim, kita seharusnya mengimani prinsip qada’ dan qadar yang menjadi tiang utama dalam Rukun Iman. Seseorang mukmin yang mengimani qada’ dan qadar tentu sekali tidak akan mempedulikan rancangan mahupun sebarang teori konspirasi yang diatur makhluk. Sebarang kemanfaatan dan kemudaratan adalah tertakluk kepada kehendak-Nya semata. Makhluk di alam ini tidak memiliki kuasa untuk merubah sebarang perkara yang telah ditentukan ALLAH.

Firman ALLAH SWT: “Jika ALLAH menimpakan sesuatu kemudaratan kepada mu maka tidak ada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepada mu, maka Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah Al-An’aam:17)

Rasulullah SAW bersabda: “Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia ini berhimpun untuk memberikan sesuatu manfaat kepada mu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepada mu, kecuali sesuatu yang telah ditentukan ALLAH untuk mu. Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana kepada mu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan ALLAH ke atas mu.” (Riwayat At-Tirmizi)

Justeru tidak ada sesiapa yang sebenarnya mampu berkonspirasi mendatangkan sebarang kesusahan yang tidak ditetapkan ALLAH SWT kepada seseorang manusia. Bahkan ALLAH jua yang mampu memelihara dan melindunginya.

Oleh itu, seorang Mukmin sejati tidak seharusnya terjebak dalam lingkaran fitnah dan tohmah yang cuba  menimbulkan keraguan. Biarlah proses undang-undang berlangsung tanpa ada gangguan. Tindakan meremehkan mahupun memperkecilkan sistem kehakiman dan perundangan negara hanya membawa kepada kemudaratan yang lebih besar.

Mempercayai teori konspirasi hanya akan menjejaskan keimanan seseorang seolah-olah menafikan prinsip qada’ dan qadar yang ditentukan ALLAH. Oleh itu berhati-hatilah dalam setiap tindakan agar tidak tergelincir daripada landasan aqidah sejati.

Apa yang utama saat ini, kita memberi sokongan moral kepada semua pihak khususnya ahli keluarga mangsa tragedi kehilangan pesawat Malaysian Airlines. Berdoalah agar kesudahan terbaik daripada segala musibah yang melanda negara masa kini.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *