KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) merekodkan keuntungan bersih RM394.8 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 7.9 peratus berbanding tempoh sama pada 2022.
Perolehan kumpulan bagi tempoh dikaji meningkat 33 peratus kepada RM3.36 bilion berbanding RM2.53 bilion tahun lalu, dipacu oleh pertumbuhan pembiayaan sihat dan pendapatan bersih.
Pencapaian yang lebih baik ini turut didorong oleh pendapatan bukan berasaskan dana yang lebih tinggi, mengukuh sebanyak RM144.5 juta atau 95.6 peratus disebabkan oleh pendapatan pelaburan lebih besar dan laba bersih daripada transaksi tukaran mata wang asing.
Pendapatan berasaskan dana bersih turut meningkat, disumbangkan oleh pertumbuhan pembiayaan kasar tahun ke tahun dan peningkatan margin pendapatan bersih (NIM).
NIM terus meningkat secara konsisten daripada 2.06 peratus pada suku pertama 2023 kepada 2.11 peratus pada suku kedua 2023 dan terus mengukuh kepada 2.17 peratus pada suku ketiga 2023.
Pencapaian ini diterjemahkan kepada pendapatan sesaham 17.58 sen dan pulangan ekuiti bersih tahunan sebanyak 7.7 peratus.
Bagi sembilan bulan 2023, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen tunai interim satu peringkat RM285.4 juta atau 12.59 sen sesaham biasa.
Bank Islam dalam satu kenyataan berkata, jumlah aset kumpulan meningkat sebanyak 2.2 peratus tahun ke tahun untuk berada pada RM88.1 bilion setakat 30 September 2023, didorong oleh pertumbuhan pembiayaan dan pelaburan sekuriti.
Ia berkata, pembiayaan kasar meningkat sebanyak 8.4 peratus tahun ke tahun kepada RM67.3 bilion, manakala akaun deposit dan pelaburan pelanggan berada pada RM73.9 bilion dengan mencatatkan peningkatan tahun ke tahun RM1.7 bilion atau 2.3 peratus.
“Sebahagian besar pertumbuhan ini didorong pengukuhan tahun ke tahun 9.5 peratus atau RM2.5 bilion dalam jumlah akaun semasa, simpanan dan pelaburan transaksi (CASATIA) untuk berada pada RM28.5 bilion.
“Komposisi ini menunjukkan aras sihat 38.5 peratus jumlah akaun deposit dan pelaburan pelanggan. Nisbah Jumlah modal kumpulan kekal kukuh pada 20 peratus.
“Kumpulan mengekalkan kedudukan modal dan kecairan yang teguh, seterusnya mencerminkan momentum pertumbuhan dan asas Bank Islam yang jitu,” katanya.
Setakat 30 September 2023, nisbah pembiayaan terjejas kasar telah meningkat 0.97 peratus berbanding 1.27 peratus pada akhir Disember 2022.
Angka ini kekal lebih baik berbanding purata industri pada 1.72 peratus.
Bagi mengukuhkan prestasi kewangan serta daya tahannya, Bank Islam berkata ia mengutamakan pelaksanaan strategi untuk memelihara NIM dalam landskap industri yang kompetitif.
Selain itu, katanya ia terus memperhalusi penyelesaian kewangannya agar seiring dengan pendekatan bertumpukan pelanggan.
“Sebagai maklum balas kepada perubahan pilihan perbankan dalam pasaran, Bank Islam terus komited dalam menyediakan penyelesaian patuh Syariah termaju, selaras dengan gaya hidup moden.
“Kumpulan terus menambah baik dan memperluas perkhidmatan serta tawaran perbankan digital,” katanya.
KOMEN