IPOH – Unit Tahfiz di Pusat Pendidikan Al Barakah milik pendakwah bebas terkemuka, Datuk Mohd. Kazim Elias di Manjoi di sini akan beroperasi seperti biasa dan mungkin diambil alih pengurusan baharu.
Menurut Mohd. Kazim, beberapa pihak telah datang berjumpa dengan beliau dan menyatakan persetujuan untuk mengambil alih pengurusan Unit Tahfiz supaya operasinya dapat diteruskan.
Beliau berkata, setakat ini proses perbincangan masih diteruskan dan Unit Tahfiz itu tidak akan ditutup atau dijual.
“Unit ini akan diteruskan dengan kemungkinan diambil alih oleh pengurusan baharu.
“Sekiranya Unit Tahfiz ini tidak diambil alih oleh pengurusan baharu, saya perlu mengurangkan bilangan pelajar dan kakitangannya untuk mengurangkan kos pentadbiran. ,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Kazim, Unit Tahfiz itu ditubuhkan dengan menggabungkan bidang tahfiz dan akademik bagi melahirkan pelajar agama yang boleh menceburi bidang profesional.
“Saya bimbang sekiranya kakitangan dikurangkan, kualiti pendidikan terutamanya dalam bidang akademik di Unit Tahfiz ini akanterjejas dan kemungkinan para pelajar hanya dapat mempelajari bidang tahfiz semata-mata,” jelasnya.
Sementara itu, Ustaz Kazim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri di atas keprihatinan memberikan sumbangan dana sebanyak RM150,000.
“Namun saya masih belum berjumpa dan berbincang mengenai masalah yang dihadapi pusat pendidikan ini disebabkan jadual Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang padat,” katanya.
Mohd. Kazim turut memberitahu, program ceramahnya juga kembali seperti biasa.
“Saya banyak menerima undangan menyampaikan ceramah di masjid dan surau selain rakaman kuliah agama di stesen televisyen,” katanya. – Utusan Malaysia
KOMEN