MALAYSIA menduduki tempat ke-19 sebagai negara yang paling aman daripada lebih 150 buah negara. Kedudukan ini membawa makna bahawa mempertahankan keamanan itu adalah tanggungjawab besar yang telah dilakukan oleh kerajaan dan kerana itulah negara mempunyai undang-undang dan peraturan ketat bagi membendung sebarang usaha memusnahkannya.
Dalam Islam, keamanan atau kedamaian itu menjadi tunggak penting dalam kehidupan individu, bermasyarakat dan bernegara. Sebanyak 42 kali perkataan yang bermaksud ‘kedamaian’ telah disebut di dalam al-Quran. Bagaimanapun, entah mengapa, kata tersebut hanya mudah ditemui sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan, tetapi amat sukar untuk dipraktik dan dilihat di alam nyata.
Daripada perspektif di luar lingkungan al-Quran pula, maksud dan hasrat membentuk kedamaian di dunia merupakan sesuatu yang penting dan perlu diutamakan. Bahkan semakin banyak pertubuhan dan individu yang sentiasa berusaha menjalankan misi perdamaian, termasuk Flotila Pembebasan Gaza yang menghadapi pelbagai dugaan dan rintangan dalam meneruskan hasrat memecahkan tembok sekatan oleh Israel sejak 1948.
Kelahiran agama-agama dalam kehidupan manusia juga merupakan manifestasi keperluan manusia kepada sebuah kehidupan yang aman dan damai. Konteks aman dan damai yang diinstitusikan oleh manusia itu berakar kepada kehendak untuk hidup secara harmoni dan sejahtera.
Rasulullah SAW mengajar setiap Muslim supaya mengamalkan doa setiap kali selesai mengerjakan sembahyang. Doa yang diajarkan bermaksud: Ya Allah, Engkaulah Yang Maha damai, dari-Mu bersumber kedamaian dan kepada-Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian, dan masukkanlah kami ke syurga, negeri yang penuh kedamaian.”
Kita juga turut dihubungkan dengan sebuah ungkapan bahawa “Kemuliaan bagi Tuhan berada di tempat Yang Maha Tinggi, dan semoga damai di bumi.” Kedua-dua petikan itu masih belum mampu menegakkan sebuah kehidupan yang damai selagi manusia tidak memahami sari pati maksudnya.
Perkataan salam bererti damai. Kedamaian bermula dengan ketenangan dalam diri seseorang, maka dari jiwa yang aman dan tenteram itulah akan bercantum dalam satu interaksi yang membawa kepada keamanan dan kedamaian secara menyeluruh. Maka, jika interaksi itu rosak, maka cita-cita tersebut akan menemui kegagalan dan seluruh manusia berada dalam kesulitan yang besar.
Allah SWT memberikan amaran bahawa: “Sekiranya ada di langit dan di bumi Tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa.” (al-Anbiya ayat 22).
Di dalam surah al-Mukminun ayat 91 bermaksud: “Allah sekali-kali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada Tuhan (yang lain) berserta-Nya. Kalau demikian (ada Tuhan berserta-Nya), pastilah masing-masing Tuhan itu akan membawa makhluk yang diciptakannya, dan sebahagian daripada Tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah daripada apa yang mereka sifatkan itu.”
Kedamaian akan terbina melalui hati yang tulus ikhlas. Bermula dari hati yang tenang dan jiwa tenteram itulah al-Ghazali menjelaskan, “Siapa yang selamat hatinya dari hal-hal itu, maka akan selamat pula anggota badannya daripada segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada al-intikas (keterbalikan) dan al-in’ikas (tertolak ke belakang), dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang salim (selamat), seperti dilukiskan di dalam al-Quran menerusi surah al-Syu’ara ayat 88-89 yang bermaksud, “Pada hari itu tidak berguna harta dan anak-anak, tetapi yang berguna adalah yang datang membawa hati yang salim (selamat daripada dosa dan noda).”
Al-intikas diertikan sebagai orang yang sentiasa berada dalam ketundukan nafsu dan melihat apa yang dilakukan oleh orang lain sebagai suatu tindakan yang salah. Kemarahannya menjadi semakin memuncak apabila gerak hati dan nalurinya hanya berdasarkan penilaian sebelah pihak, tanpa memikirkan peraturan yang diterima secara sejagat.
Al in’ikas ialah keadaan yang menyongsang arus di mana orang yang berada dalam hierarki pemerintahan paling atas terpaksa menjadi hamba kepada rakyatnya. Kedudukan ini menyebabkan sesuatu keputusan tidak lagi dihormati dan setiap kali keputusan akan diambil, maka prosesnya perlu mendapat persetujuan rakyat. Ini adalah sebuah sistem yang janggal, kerana seseorang pemimpin itu diukur daripada wibawanya membuat keputusan dan melaksanakan amanah rakyat.
Rakyat memberikan mandat kepada pemimpin, maka pemimpin berhak membuat keputusan berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan. Maka, apabila peraturan tidak memberikan kebenaran kepada perhimpunan haram, maka keputusan itu adalah selaras dengan pertimbangan aturan, demi menjaga keharmonian rakyat.
Tidak juga wajar seseorang ‘menyandang’ sifat salam dan Islam kalau sesamanya tidak selamat daripada gangguan lidah dan tangannya. “Muslim adalah yang orang-orang Muslim (lainnya) selamat daripada gangguan lidah dan anggota badannya.”
Daripada namanya saja, iaitu Islam, dapat diketahui bahawa agama ini mengharapkan hubungan harmonis dan kedamaian. Akan tetapi, tentu saja kedamaian tidak mungkin dapat tercipta apabila rasa damai tidak wujud dalam jiwa manusia.
Justeru, langkah pertama yang diajarkan Rasulullah SAW adalah menanamkan rasa aman pada jiwa masing-masing (peribadi), bukan daripada orang lain terlebih dahulu, tetapi daripada dirinya sendiri. Rasa aman tersebut bermula daripada nurani masing-masing sehinggalah ia membawa ke kancah kehidupan sosialnya.
Jadi, mengapa ada di antara kita yang menolak hakikat kedamaian ini walhal kata-kata larangan ke arah kerosakan dan kekacauan itu bukan hanya datang daripada manusia sendiri (yang cintakan kedamaian, keamanan dan kesejahteraan) bahkan daripada Allah SWT?
Siapa kita untuk berkata ‘tidak’ kepada ‘kedamaian dan keamanan’? – ABABIL
KOMEN