PARIS 19 Okt. – Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) semalam meluluskan resolusi yang mengesahkan hak Palestin terhadap pekarangan Masjid al-Aqsa di kawasan yang dijajah Israel di Baitulmaqdis Timur.
Portal Al Jazeera memetik jurucakap pertubuhan di Perancis tersebut sebagai berkata, resolusi itu diluluskan sebulat suara semalam selepas dipersetujui pada peringkat jawatankuasa, minggu lalu.
Resolusi itu disokong 24 negara, 26 negara enggan mengundi manakala enam negara menolak iaitu Amerika Syarikat, Britain, Jerman, Belanda, Lithuania dan Estonia.
Press TV melaporkan, resolusi itu mengecam tindakan rejim Israel menyekat kebebasan beragama dan mengenakan kawalan ketat terhadap masyarakat Islam Palestin di sekitar kompleks al-Aqsa.
Keputusan tersebut turut mengutuk keganasan berterusan dilakukan tentera Zionis di al-Aqsa.
Timbalan Duta Palestin ke UNESCO, Mounir Anastas berkata, usul berkenaan mengingatkan Israel bahawa rejim itu perlu menamatkan penjajahan serta menghentikan penggalian di tapak arkeologi di wilayah-wilayah Palestin.
Ini merupakan kali kedua UNESCO meluluskan resolusi anti-Israel pada tahun ini. – https://www.utusan.com.my/
KOMEN