Home » Langit Terbuka » Uncle Kentang sedia van jenazah percuma

Uncle Kentang sedia van jenazah percuma

Kemudahan van jenazah percuma yang disediakan untuk penduduk kurang berkemampuan.

 

PUCHONG- Selepas Pasar 10 sen, Rumah RM1, ambulan 10 sen dan teksi 10 sen diwujudkan, Persatuan Kepolisan Masyarakat (CP) Malaysia kini memperkenalkan pula khidmat van jenazah percuma untuk digunakan penduduk kurang berkemampuan di sekitar Puchong.

Presidennya, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang berkata, van tersebut diterima pihak persatuan hasil sumbangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.

Menurutnya, beliau terdetik mewujudkan kemudahan itu selepas melihat kesukaran waris tidak berkemampuan yang mempunyai ahli keluarga meninggal dunia membawa balik jenazah dari hospital atau pulang ke kampung halaman.

“Kami ada buat khidmat ambulan 10 sen dan teksi 10 sen tapi ia tak boleh bawa orang yang meninggal dunia, jadi di situ kita lihat ada keperluan van jenazah ini.

‘Terima kasih kepada timbalan perdana menteri yang prihatin dan sumbangkan kemudahan untuk digunakan oleh orang Puchong,”katanya.

Chee Heng berkata, pihaknya juga akan berhubung dengan pihak hospital terdekat dan mengenalpasti waris yang memerlukan khidmat tersebut.

Jika waris berkemampuan, akan dikenakan sedikit bayaran namun jika sebaliknya khidmat penghantaran jenazah ditawar secara percuma.

“Saya bawa berita baik kepada penduduk Puchong, jika mereka terdiri daripada keluarga kurang berada, kami akan permudahkan mereka yang telah tinggalkan kita. Kalau ada keperluan kita tak akan ragu-ragu untuk bantu.

“Apa yang penting supaya kita dapat uruskan jenazah dengan cepat, elok dan sempurna. Permudahkan orang lain, kita harap tuhan akan mempermudahkan kita semua,”katanya.

Terdahulu, persatuan berkenaan pernah memperkenalkan khidmat kemudahan ambulan, teksi dan jualan barang dengan hanya mengenakan harga 10 sen bagi membantu golongan tidak berkemampuan sekitar Puchong. – SINAR HARIAN

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *