Home » Langit Terbuka » Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Ummu Atiyyah sokong keputusan MKI

Ummu Atiyah.

Kuala Lumpur: Anak sulung kepada bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Ummu Atiyyah menyokong keputusan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bahawa ajaran dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dan syarikatnya sesat serta menyeleweng.

Ummu Atiyyah, 41, berkata ini berdasarkan pengalamannya bersama Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) sebelum ini yang mengesan pegangan dan ajaran dibawa kumpulan itu bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Semasa saya dapat melarikan diri dari rumah banglo di Bukit Beruntung yang menjadi tempat penginapan pengikut GISBH, saya ada minta barang berkat daripada salah seorang pengikut.

“Dia berikan rantai yang ada buah dan saya serahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana saya berpendapat ia adalah sesat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Selain itu, Ummu Atiyyah yang juga ibu tunggal seorang anak berkata, anaknya pernah dipaksa menggelar isteri ketiga kepada pengasas kumpulan itu sebagai puteri Rasulullah.

Katanya, perkara itu terbongkar selepas dia terjumpa surat di dalam beg anaknya.

“Anak beritahu dia diarahkan menulis surat itu kepada Azura (isteri ketiga Nasiruddin) dan menggelarnya Puteri Rasulullah.

“Malah, saya juga sedih apabila nama nabi dipermainkan termasuklah nama arwah ayah saya sendiri,” katanya.

Kelmarin, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mengesahkan ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin Mohd Ali dan syarikat GISBH sesat serta menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi MKI Datuk Dr Nooh Gadut dilaporkan berkata, keputusan itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung pada 24 hingga 26 September lalu.

Beliau berkata, antara fahaman menyeleweng yang dianuti oleh kumpulan itu termasuk mentakrifkan Asy Syeikh Muhammad Abdullah As-Suhaimi atau Syeikh Muhammad Suhaimi sebagai Imam Mahdi, manakala pengasas al-Arqam, Asaari Muhammad, dianggap pembantu Imam Mahdi di akhir zaman.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *