Home » Citra Yadim » Ummatic Festival 2.0 sediakan pelbagai acara menarik

Ummatic Festival 2.0 sediakan pelbagai acara menarik

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melalui kolaborasi dengan Masjid Al Fateh, Taman Jati, Ipoh akan mengadakan program Ummatic Festival 2.0 bertempat di perkarangan masjid berkenaan pada 4 – 6 Oktober 2019.
Program yang bertemakan `Negara Rahmah Ummah Sejahtera’ itu merupakan satu program dwi tahunan yang permulaanya dianjurkan secara bersama Jawatankuasa Kariah Masjid Muhammad Al Fateh dan Kelab Belia Al Fateh.
Menurut penyelaras program, Abdul Hafiz Mat Tuah, ia adalah bertujuan bagi menjadikan masjid sebagai tempat untuk penyatuan ummah serta pusat sehenti bagi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan.


“Bersempena dengan program tersebut pelbagai aktiviti telah disusun untuk merealisasi dan menjadikan masjid berperanan mengikut fungsinya yang sebenar,’’ katanya.
Beliau berkata, objektif program ini adalah antara lain untuk membina ahli kariah yang bertanggungjawab dalam membangunkan keharmonian ummah dan untuk menjadikan masjid sebagai pusat sehenti dan tempat bagi aktiviti kemasyarakatan.
“Program ini juga bertujuan untuk melahirkan rasa kecintaan terhadap masjid dan menjadikannya sebagai rumah kedua bagi anggota masyarakat dan mengukuhkan ikatan silaturrahim, saling hormat menghormati serta memupuk semangat kejiranan pelbagai kaum,’’ katanya
Katanya pada 4 Oktober, program akan dimulakan dengan Konvensyen Rahmatan Lil Alamin Peringkat Negeri Perak 2019 bermula pukul 9 pagi hingga 12.30 petang serta Seminar Tolak Pornografi yang diadakan secara serentak.
Pada sebelah petang pada hari yang sama turut diadakan adalah slot Wanita Rahmah yang membawa tajuk “Peranan Wanita Sebagai Penyebar Rahmah Dalam Keluarga dan Masyarakat” oleh penceramah terkenal
Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila binti Nik Saleh.
“Turut diadakan ialah Street Dakwah ke lapangan bersama Mufti Reverted Muslim (MRM) dan YADIM di tapak pasar malam serta street dakwah bersama kumpulan busker dan Sahabat YADIM Perak Ipoh Yeop Street Drummers’’, katanya.
Beliau berkata, program ini akan diserikan lagi dengan majlis perasmian pada sebelah malam dengan kehadiran tetamu kehormat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof dan disusuli dengan Forum Perdana bertajuk “Transformasi Minda Menuju Negara Rahmah”.
Pada hari kedua, program akan diadakan aktiviti gotong-royong, pertandingan beyblade, pertandingan PS4, memanah, berkuda, pemeriksaan kesihatan, derma darah, klinik mental dan cabutan bertuah.
Ia kemudian disusuli dengan satu acara menarik iaitu Dad’s/ Men’s Teh Tarik :”Peranan Bapa Dalam Membentuk Keluarga Rahmah” yang menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli bin Mohamad al Bakri.
Pada sebelah petang hari kedua juga akan diadakan Program Bikers Masjid, ziarah asnaf warga emas Muslim dan bukan Muslim sementara pada sebelah malam diadakan kuliah Maghrib dan malam kesenian Islam.
Pada hari terakhir iaitu pada 6 Oktober, program dimulakan dengan qiamulail, kuliah Subuh, riadah, program gotong royong surau dan diikuti dengan acara-acara santai seperti pertandingan azan,hafazan dan nasyid, street soccer Piala YDP YADIM, gunting rambut kasih sayang, deko muslimat bersama Yatt Hamzah, sukan rakyat inter surau dan masjid dan cabutan bertuah.
Turut diadakan adalah slot `Men’s Teh Tarik : “Bapa Borek Anak Rintik” bersama Penolong Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustaz Mohamad Zarifi bin Mohamad Daud, bicara santai bersama MAPIM, pertandingan bercerita sejarah Al-Fateh dan kuliah Maghrib oleh Timbalan Yang Dipertua YADIM.
Ummatic Festival 2.0 akan ditutup secara rasmi oleh Timbalan Menteri Keusahawanan, Datuk Wira Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *