SHAH ALAM – Seluruh umat Islam diingatkan agar berhati-hati dalam tindakan dan ucapan supaya tidak terjebak dalam situasi yang boleh disifatkan sebagai menghina dan mempersenda agama suci ini.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, ini kerana individu yang terlibat bukan sahaja berdepan dengan kemarahan umat Islam, malah mendapat kemurkaan ALLAH SWT yang azabnya sangat dahsyat.
“Islam adalah agama yang suci. Suatu agama yang tidak sekadar dianuti bahkan diperintah agar ia dipraktis dalam kehidupan ini. Justeru, Islam di sebut sebagai ‘way of life’ atau Minhaajul Hayah.
Justeru, tidak sahaja Islam melarang penganutnya menghina agama lain, maka terlebih utama seorang muslim diwajibkan memelihara maruah dan kesucian agama Islam yang dianutinya,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kontroversi melibatkan seorang wanita yang dipercayai menghina kesucian agama Islam melalui video tularnya yang berlaku di sebuah kelab di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) merupakan tindakan yang tidak boleh diterima.
Ini kerana katanya, tindakan wanita itu yang tampil dikhalayak dalam keadaan menutup aurat dan membuat pengakuan menghafal al-Quran tetapi secara tiba-tiba menanggalkan pakaian hingga separuh ‘telanjang’ jelas mempersenda dan memperkecilkan agama.
KOMEN