Home » Langit Terbuka » Umat Islam Myanmar dinafi hak beribadah

Umat Islam Myanmar dinafi hak beribadah

KUALA LUMPUR 20 Sept. – Tidak cukup dengan kezaliman yang dilakukan terhadap etnik Ro­hingya, tentera Myanmar turut bersikap rakus melakukan pelbagai tekanan bagi mengusir umat Islam di negara itu sama ada secara kekerasan atau halus.

Seorang wanita Myanmar yang beragama Islam, Thuzar Maung berkata, dia sanggup meninggalkan tempat asalnya di Mandalay berikutan tekanan hebat yang diberikan terhadap umat Islam yang ingin menunaikan tuntutan agama.

“Jumlah umat Islam dan bilangan masjid yang masih ada tidak seimbang. Pihak berkuasa Myanmar memusnahkan masjid-masjid bagi menafikan hak kami untuk melakukan ibadah,” kata­nya ketika memberi kete­rangan sebagai saksi kedua dalam persidangan hari ketiga Tribunal Antarabangsa Rohingya di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Katanya, sebuah masjid yang berusia lebih 100 tahun turut dimusnahkan dengan alasan ia dibina berhampiran dengan kuil Buddha.

“Dokumen pemilikan tanah masjid juga dirampas dan dimusnahkan bagi menghapuskan bukti pemilikan tanah berkenaan oleh umat Islam,” katanya.

Wanita berusia 40 tahun itu memberitahu, terdapat masjid yang dirampas kerajaan lalu dijual kepada komuniti Buddha, namun umat Islam hanya memendam perasaan kerana takut untuk membantah tindakan itu.

Sementara itu, seorang lagi saksi, Sithu Barakhat, 25, menya­takan dia pernah melihat perusuh-perusuh yang beragama Buddha membunuh umat Islam sewenang-wenangnya di jalanan.

Dia yang ketika itu bekerja di sebuah kedai basikal di Mantila memberitahu, rusuhan tersebut berpunca daripada perselisihan faham antara sepasang suami isteri beragama Islam dengan pemilik kedai emas yang beragama Buddha.

“Ketika saya dikepung oleh perusuh, saya terpaksa menyatakan saya bukan seorang Islam dalam bahasa Myanmar bagi mengelakkan daripada dibunuh dan mereka kemudian mengusir saya,” katanya.

Jelasnya, semasa melarikan diri, dia melihat mayat-mayat bergelimpangan di sepanjang jalan dan seorang ibu bersama anak kecil yang masih dalam dukungan menjadi mangsa kekejaman.

“Pada masa sama, perusuh-perusuh menjerit ‘Bunuh semua kalla! (umat Islam)’,” katanya. – www.utusan.com.my

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *