Home » Langit Terbuka » Umat Islam Malaysia diseru cari persamaan

Umat Islam Malaysia diseru cari persamaan

KOTA BHARU 10 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan umat Islam di negara ini mencari titik persamaan walaupun mereka berbeza pendapat dan ideologi politik.

Menurut Perdana Menteri, umat Islam seharusnya dapat menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat bukan Islam.

Jelas beliau, pemikiran-pemikiran yang menjurus kepada perpecahan dan permusuhan hendaklah diganti dengan nilai-nilai yang seimbang dan saksama, termasuk bersikap baik sangka dan tidak menokok tambah cerita-cerita tertentu.

“Sesungguhnya Islam mencela golongan pengadu domba yang sentiasa berusaha mencipta api permusuhan hingga membakar dan melenyapkan ikatan ukhuwah sesama umat Islam.

“Ini jelas berdasarkan firman Allah di dalam surah Al-Qalam ayat 10 dan 11 yang bermaksud: Dan janganlah kamu ikuti setiap orang yang banyak bersumpah, lagi hina, yang banyak mencela, yang ke sana ke mari menghambur fitnah,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-56 di Dewan Besar Balai Islam Lundang di sini malam ini.

Yang turut hadir, isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Dr. Zainuddin Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha.

Dalam ucapan sarat dengan nasihat dan peringatan itu, Perdana Menteri terus mengajak umat Islam sama-sama memelihara, memartabatkan kesucian agama Islam dan pada masa sama, memperteguh kesepakatan serta mempertahankan Islam sebagai agama negara.

Jelas beliau, perpecahan hanya akan merugikan umat Islam dan memberi ruang kepada pihak lain mengambil kesempatan atas kelemahan mereka.

“Marilah kita bersama-sama memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan negara ini akan kekal berkesinambungan. Perpaduan kita teruskan dan dalam masa sama kita menolak sekeras-kerasnya apa juga tindakan dan cubaan pihak tertentu yang menghina, memperlekehkan agama Islam, institusi raja dalam kancah politik yang keterlaluan.

“Kita wajib mempertahankan khalifah agung Nabi Muhammad SAW, Perlembagaan dan institusi raja yang telah menjadi asas kepada tertubuhnya Malaysia yang bertamadun lagi berdaulat ini.

“Sesiapa yang mengkhianati perkara ini perlu berdepan tindakan undang-undang sedia ada,” tegas beliau.

Pada masa sama, Perdana Menteri mengingatkan umat Islam betapa bertuahnya mereka kerana negara memiliki infrastruktur yang sistematik untuk mengurus dan menjana pengurusan Islam, serta berpotensi besar untuk meneruskan pembangunan sebuah tamadun besar berpaksikan Islam.

Semua yang dimiliki itu tegas beliau, wajar ditransformasikan melalui satu mekanisme pengurusan lebih tersusun dan strategik demi pembangunan Islam yang lebih hebat.

“Sekiranya kita dapat melaksanakan tugas mulia ini, maka ia akan mencetuskan ‘lonjakan rahmat’ yang turut diraih ranuman buahnya oleh seluruh rakyat negara ini tanpa mengira bangsa ataupun agama,” kata beliau.

Perdana Menteri turut menyeru masyarakat Islam sentiasa mengagungkan al-Quran dengan menjadikannya sumber kepada transformasi membangunkan sahsiah diri dan negara.

Penganjuran majlis tilawah bertemakan Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah itu mencatatkan rekod tersendiri buat Kelantan dalam tempoh 56 tahun yang turut buat pertama kali membenarkan penyertaan qariahnya.

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *