KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan umat Islam untuk tidak terlalu jauh menyimpang dari landasan yang ditinggalkan Rasulullah SAW.
Titah baginda, Nabi Muhammad SAW telah memberi contoh dan model yang cukup sempurna untuk diteladani bersama.
“Baginda telah menerangi kita dengan jalan yang benar lagi adil.
“Marilah kita bangkit bersama dan memberi keutamaan kepada kemaslahatan ummah dengan menjunjung petunjuk dan tauladan yang telah diwasiatkan oleh seorang insan yang paling sempurna dan mulia,” titah Al-Sultan Abdullah pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1444 Hijrah/ 2023 Masihi di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada 9 Oktober.
Dalam majlis itu, baginda turut menitahkan pemimpin negara mencontohi pemerintahan Nabi Muhammad SAW sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan merangkumi konsep pentadbiran berasaskan tadbir urus baik, politik, ekonomi, keselamatan dan keadilan.
Titah Al-Sultan Abdullah, Rasulullah mengajar setiap pemimpin menetapkan niat yang betul selain berlaku jujur dalam menjalankan amanah dan meletakkan nilai ketakwaan kepada Allah SWT sebagai pegangan utama.
“Konsep pemerintahan yang dituntut Islam adalah merupakan satu amanah yang sentiasa dalam ruang lingkup ikatan perjanjian antara manusia dengan penciptaNya.
“Maka setiap apa yang dilakukan pemimpin hendaklah dibuat semata-mata atas dasar menjaga kemaslahatan ummah,” titah Seri Paduka.
Al-Sultan Abdullah bertitah Rasulullah menuntut hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat berasaskan kepada sikap kasih sayang dan saling menghormati antara satu dengan yang lain.
Titah Seri Paduka, pemimpin dan rakyat wajar mengambil iktibar bahawa kecemerlangan Kerajaan Madinah di bawah pentadbiran Rasulullah SAW adalah kerana kekuatan sosiopolitik yang menjamin hak dan keadilan warga, keberkesanan penyatuan ummah dan pembangunan ekonomi yang dinamik.
“Baginda (Rasulullah SAW) mengutamakan kepentingan ramai berbanding individu. Baginda tidak memperjuangkan agenda sempit sebaliknya berlaku adil dengan membangunkan satu gagasan untuk kesejahteraan ummah,” titah Al-Sultan Abdullah.
Pada majlis itu Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2023 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir dan enam Anugerah Maulidur Rasul.
Enam penerima Anugerah Maulidur Rasul, bagi kategori Ikon Sains dan Peradaban adalah Pengarah Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizah Baharudin; Penerbit Eksekutif (Pengisian Kandungan Islam) Penyiaran Televisyen TV3 & TV9 Ahmad Noor Sulaiman (Ikon Media Islam) dan Pengerusi Yayasan Zikay Datuk Mohd Khay Ibrahim (Ikon Korporat Islam).
Turut menerimah anugerah itu tahun ini ialah selebriti Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman bagi kategori Ikon Aktivis Kemanusiaan dan Chee Hoi Lan (Ikon Ibu Sejati Keluarga Malaysia) atas jasa dan tanggungjawab menjaga, membesar dan mendidik anak angkat beragama Islam.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat tiba kira-kira 9.40 pagi dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri Datin Seri Muhaini Zainal Abidin.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad serta menteri-menteri Kabinet selain ratusan hadirin. – AlHijrah Online
KOMEN