Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar Walillahhilhamd
Menginsafi makna pengorbanan dalam menjalankan perintah Allah seperti kisah Nabi Ibrahim AS menyembelih putera kesayangannya Nabi Ismail AS.
Namun di atas berkat kesabarannya dalam mentaati perintah Allah, akhirnya Allah telah menggantikan anaknya dengan seekor kibas.
Peristiwa yang turut dicatat didalam Al-Quran Surah As-Saffat ayat 101 hingga 111 itu adalah manifestasi lambang ketundukan, ketaatan dan kepatuhan yang cukup tinggi seorang hamba di dalam menjunjung titah perintah Penciptanya iaitu Allah SWT.
Sesungguhnya dalam memaknai perjuangan dan pengorbanan itu tidaklah semudah ungkapan tetapi juga memerlukan keazaman yang tinggi dan kecekalan untuk menterjemahnya dalam bentuk pelaksanaan.
Ibadah qurban itu bukan sahaja dapat mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah, tetapi juga Islam menyeru umatnya supaya sentiasa bersatu padu dan mengelakkan daripada perpecahan agar nasib umat Islam sentiasa terbela dan martabat agama Islam itu sendiri akan terus terpelihara.
Kita harus mengenepikan segala kepentingan diri bagi kebaikan masyarakat seterusnya memupuk semangat cintakan negara bagi mencapai keharmonian.
Justeru itu bersempena dengan Eid’ul Adha pada kali ini, marilah kita bersama berganding bahu dan berpimpin tangan demi mengeratkan perpaduan berbilang bangsa seterusnya menterjemah budaya toleransi dalam konteks bermasyarakat.
Selamat Hari Raya Eid’ul Adha dan Selamat Menjalani Ibadah Qurban.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Dato Seri Dr Wan Azizah Wan Dr Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri Malaysia
KOMEN