Home » Langit Terbuka » Umat Islam diminta doakan keselamatan Palestin

Umat Islam diminta doakan keselamatan Palestin

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengutuk tindakan Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mengajak masyarakat dunia untuk bertindak segera serta bersatu menentang kezaliman tentera zionis.

Yang Dipertuanya, Nasrudin Hassan, berkata Israel tidak mempunyai sebarang sebab untuk menyerang warga Palestin yang sedang beribadat di bulan mulia ini dan tindakan itu boleh dianggap sebagai satu provokasi semata-mata.

“Tindakan Israel menceroboh sehingga mencederakan warga Palestin yang sedang beribadat pada hari-hari terakhir Ramadan tahun ini menunjukkan sikap pengecut sebenar mereka kerana terang-terangan jemaah di Masjid Al-Aqsa ketika itu bukannya ancaman keselamatan untuk mereka.

“Justeru, YADIM mengutuk keras tindakan itu yang jelas salah dari segi undang undang serta mencabul hak warga Palestin termasuk wanita dan kanak kanak untuk beribadat,” katanya dalam satu kenyataan pada 9 Mei.

YADIM juga menyeru masyarakat Islam di negara ini untuk sama-sama mendoakan keselamatan rakyat Palestin agar mereka sentiasa dipelihara daripada tindakan keji rejim itu.

Pada Jumaat lalu, tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi melakukan pencerobohan terhadap rakyat Palestin dan jemaah yang sedang beribadah di Masjid Al-Aqsa. – Berita Harian

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *