BADAN bukan kerajaan (NGO), Green Project Malaysia akan menghantar bantuan misi kemanusiaan kepada penduduk Ghoutah Timur yang terjejas dan kini sedang mengumpul dana untuk berbuat demikian.
Pengerusinya, Kapten (B) Mohd Asri Abdul Khalek berkata, sumbangan siri kedua itu bertujuan membantu umat Islam di Syria yang diserang tentera Bashar al-Assad dan Russia, baru-baru ini.
Katanya, sumbangan kewangan, wakaf serta zakat amat diharapkan dan boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank (Green Project) bernombor 5622 4550 9384 atau CIMB bernombor 8603088822.
“Pihak kami melancarkan kempen Bantuan Kecemasan Ghoutah siri kedua dan mensasarkan sumbangan RM500,000. Kita mungkin tersedar mengenai Syria apabila berlaku isu Ghoutah Timur, namun negara itu sudah dibom sejak enam tahun lalu,” katanya.
Mohd Asri berkata, pihaknya menggerakkan bantuan di Syria bermula 2012 dengan menyalurkan makanan, pakaian, susu, lampin pakai buang serta keperluan asas kepada NGO Syria yang berpusat di Turki. Mereka juga mendapat kerjasama Kesatuan Ulamak Syam.
“Green Project turut membina hospital bawah tanah hasil sumbangan rakyat Malaysia. Sehingga kini RM2 juta diperuntukkan bagi membantu ribuan penduduk di Aleppo, Homs serta Idlib,” katanya.
Mohd Asri meminta umat Islam di negara ini menolong saudara seagama di Syria yang ‘difitnah’ bahkan setiap hari mereka menangis meminta bantuan.
“Bangunlah dari lamunan.. Cukupkah setiap hari kita mencerca Bashar al-Assad sedangkan tiada bantuan disalurkan,” katanya.
Menurut Mohd Asri, umat Islam sering memberi tumpuan isu Palestin hingga terlupa Syria termasuk wilayah Syam yang kini sedang bergolak.
“Apa yang berlaku di dua negara itu sudah disebut dalam hadis yang mana berlaku pergolakan akhir zaman. Kawasan itu berdepan krisis kemanusiaan terbesar abad ke-21 yang memerlukan bantuan umat Islam seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, dalam serangan tiga hari baru-baru ini, rejim Bashar dibantu tentera Russia membedil Ghoutah Timur menggunakan senjata kimia dan dibom pasukan artileri.
“Ramai kanak-kanak dan wanita kebuluran menunggu mati. Apa dilakukan musuh Islam bukan bertujuan menghapuskan pengganas sebaliknya membunuh mujahidin sebenar (hingga mengorbankan nyawa orang awam),” katanya.
Menurut Mohd Asri lagi, sudah enam tahun masyarakat Ghoutah dan Syria disekat termasuk dihentikan makanan serta perubatan.
“Perang di Syria bermula awal 2011 menyaksikan 46 serangan kimia dilancarkan dan seramai 1,400 penduduk terbunuh pada 21 Ogos 2014. Tindakan oleh Bashar bertujuan melambatkan kemenangan Islam hingga sanggup bersekongkol bersama Zionist, Amerika Syarikat, Iran serta Russia,” katanya.
Mohd Asri pada masa sama meminta umat Islam tidak bergantung harap pada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana badan itu bersekongkol bersama musuh Islam.- HARIAN METRO
KOMEN