KOTA BHARU- Ulama di seluruh dunia sependapat bahawa pengambilan vaksin COVID-19 adalah penting dan harus bagi mencegah penularan wabak itu, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Malah katanya, semua jemaah haji diwajibkan mengambil vaksin COVID-19 sebelum dapat menunaikan ibadah berkenaan di Tanah Suci Makkah pada tahun ini.
Beliau menjelaskan, jemaah ke Tanah Suci Makkah memang sudah lama diwajibkan mengambil suntikan pelalian, dengan vaksin COVID-19 adalah yang terbaru.
“Umat Islam di seluruh dunia mengambil vaksin COVID-19, termasuk Mesir, Maghribi, Turki serta negara lain, kerana mereka berusaha untuk mencegah penyakit ini daripada menular.
“Masyarakat Islam di negara ini diminta menghentikan perdebatan dalam media sosial berkenaan pengambilan vaksin COVID-19. Mereka diminta patuh dengan sabda Rasulullah SAW bahawa ‘sekiranya kamu berselisih dalam satu perkara, ikutlah suara majoriti’.
“Justeru di sini, suara majoriti rakyat negara ini mahu mengambil vaksin sebagai usaha mencegah penularan wabak COVID-19,” katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam harus reda dengan musibah yang menimpa ketika ini, sekali gus bersabar dan tawakal kepada Allah SWT.
“Dalam menghadapi musibah ini, kita perlu bersyukur kerana Allah SWT turunkan dengan penawar untuk pencegahan penyakit COVID-19, iaitu vaksin. Tuhan bukan bagi penyakit saja tetapi sekali dengan ubat atau vaksin.
“Ramai yang membuktikan bahawa vaksin ini baik kerana ramai rakyat negara ini sudah mengambilnya.
“Sebaliknya, masalah kebimbangan untuk mengambil vaksin COVID-19 timbul hanya kerana persepsi negatif, namun tidak dapat membuktikan dakwaan buruk terhadap vaksin itu,” katanya.
Sambil memaklumkan beliau juga telah mengambil vaksin COVID-19, Mohamad Shukri berkata, hanya sekelompok kecil individu yang terpengaruh dengan persepsi negatif dan tidak mengambil pelalian itu sehingga merugikan diri.
Mengulas laporan hampir 10,000 warga emas di negeri ini tidak hadir mengambil suntikan vaksin itu pula, beliau tidak menolak kemungkinan faktor ada dalam kalangan mereka menghadapi kesukaran untuk bergerak.
“Ketika mendapatkan vaksin, saya memerhatikan golongan berumur ini memerlukan pembantu untuk membawa mereka ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
“Justeru, mungkin kerajaan atau Kementerian Kesihatan (KKM) perlu memikirkan kaedah lain untuk memastikan kelompok ini mendapat vaksin. Sebagai contoh, Turki melaksanakan suntikan dari rumah ke rumah,” katanya. – Berita Harian
KOMEN