KUALA LUMPUR 18 Julai – TV Alhijrah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) merancang menganjurkan program realiti, Keluarga Mithali sebagai usaha memupuk nilai-nilai kekeluargaan Islam di kalangan masyarakat di negara ini terutama pasangan muda.
Pengurus Besar Pembangunan Kandungan dan Penyelidikan Program, Wan Alias Abdullah berkata, program Keluarga Mithali adalah satu usaha yang baik dilakukan oleh YADIM kerana ia mampu memberikan inspirasi kepada pasangan muda membina keluarga dan mendidik anak-anak mereka.
Ini kerana, katanya, program ini bakal memaparkan kisah keluarga-keluarga mithali yang telah berjaya dalam kehidupan mereka.
“Sememangnya kita sangat bimbang melihat situasi perceraian dan masalah akhlak muda mudi sekarang dan dengan sebab itu program seperti ini amat relevan dengan perkembangan semasa,’’ katanya dalam majlis pertemuan dengan delegasi YADIM yang diketuai oleh Yang Dipertua, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Program Anugerah Keluarga Mitahli adalah kesinambungan daripada Anugerah Ibu Mithali yang telah dianjurkan oleh YADIM sejak tahun 1980-an lagi.
Anugerah Ibu Mithali adalah satu program bagi memberi pengiktirafan kepada ibu-ibu yang telah berjaya dalam mendidik anak-anak mereka serta membentuk keluarga masing-masing menjadi insan yang berjaya dalam kehidupan masing-masing.
Sehingga kini seramai 10 ibu telah menerima anugerah ini yang meliputi wanita dari pelbagai latar belakang.
KOMEN