KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu memastikan harga barang keperluan turun sebelum membuat keputusan menghentikan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
Ahli Dewan Negara, Senator Dr Mohd Nor Monutty, berkata kerajaan juga bertanggungjawab menyediakan prasarana kehidupan yang kondusif jika mahu memansuhkan program pemberian bantuan kewangan kepada rakyat.
“Kerajaan kena turunkan dulu harga barang, sediakan prasarana yang kondusif seperti tangani isu mata wang turun, pastikan harga barang turun.
“Kawalan harga barang perlu dilakukan dengan betul, dengan itu rakyat akan berasa wang mereka ada nilai. Sekarang hendak beli barang tersekat kerana tiada duit. Ini yang kita bimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di lobi Parlimen selepas mengemukakan usul ucapan menjunjung kasih titah Yang di–Pertuan Agong di Dewan Negara, hari ini.
Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini berkata, pentadbirannya berhasrat mengurangkan BR1M secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan memberi penjelasan kepada rakyat berhubung langkah terbabit, sesuai dengan pengurangan yang bakal dibuat.
Terdahulu, dalam ucapannya, Mohd Nor berkata, beliau menyarankan kerajaan tidak menghentikan pemberian BR1M secara mendadak, sebaliknya perlu melakukannya secara berperingkat.
“Bantuan seperti BR1M atau sara hidup jangan dipotong secara mendadak. Perlu beri bantuan, ada perikemanusiaan. Tapi kita setuju tidak selamanya kerajaan perlu beri ‘tongkat’ kepada rakyat,” katanya. – Berita Harian
KOMEN