ISTANBUL 31 Dis. – Turki meningkatkan kawalan keselamatan menjelang sambutan tahun baru, dibayangi serangan ganas tahun lalu di kelab malam elit yang menyebabkan 39 maut.
Lelaki berketurunan Uzbekistan mengamuk menggunakan raifal Kalashnikov, 45 minit sebelum memasuki 2017 di kelab malam Reina di Bosphorus, membunuh secara rawak dan kemudian melarikan diri dengan teksi.
Serangan itu menjadi satu lagi tamparan kepada Turki di bawah kepemimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, selepas serangan ganas setahun sebelum itu oleh militan dan pemberontak Kurdis, selain cubaan rampasan kuasa.
Bagaimanapun, tiada serangan besar di Turki sejak kes Reina dan pasukan keselamatan tahun ini mengambil semua langkah berjaga-jaga, untuk memastikan sambutan tahun ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian.
Seramai 37,000 anggota polis ditempatkan di Istabul saja pada malam ini, lebih dua kali ganda jumlah tahun lalu, kata gabenor bandar raya itu, Vasip Sahin.
Kira-kira 4,000 anggota polis tentera dan pengawal pantai turut diarah bertugas.
Sementara itu, pihak berkuasa membatalkan atau melarang sebarang sambutan tahun baru di sebahagian kawasan paling popular, termasuk di Dataran Taksim.
Semua jalan masuk ke kawasan itu disekat sejak tengah hari.
Agensi berita Anadolu melaporkan, polis yang menyamar sebagai penjual tiket loteri dan buah berangan ditempatkan di seluruh Taksim untuk memastikan keselamatan. – AFP, Berita Harian
KOMEN