KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dinobatkan sebagai Lelaki Muslim Paling Berpengaruh Dunia oleh penerbitan The Muslim 500 bagi tahun 2019 kerana kecemerlangan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Sempena ulang tahun ke-10 penerbitan itu, Dr Mahathir disifatkan sebagai pemimpin tertua di dunia yang memiliki perjalanan kerjaya politik luar biasa.
Felo Institut Kajian Polisi Luar Negara di Institut Pengajian Islam Aal al-Bayt, Jordan, Profesor S Abdallah Schleifer, berkata selain berpengalaman selama 70 tahun dalam tadbir urus kerajaan, Dr Mahathir turut menerbitkan 17 buku yang menceritakan latar belakang serta kemelut ekonomi negara, malah menyenaraikan rancangannya untuk mengatasi masalah dihadapi.
Katanya, ketokohan beliau dalam menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun disifatkan sebagai tempoh terpanjang, mengatasi mana-mana pemimpin negara dan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) sebanyak lima kali berturut-turut berjaya membawa Malaysia ke arah pemodenan serta pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Gelaran ‘Harimau Asia’ yang diberi kepada Malaysia ketika era pemerintahannya daripada 1981 hingga 2003 menyaksikan negara mengalami ledakan ekonomi sehingga digeruni negara jiran.
“Asas pertumbuhan ekonomi negara diperkukuhkan beliau pada 1969 ketika rusuhan berlaku disebabkan perselisihan antara orang Melayu dan masyarakat Cina yang dilihat lebih mendominasi sektor perniagaan ketika itu.
“Masyarakat Cina membentuk kira-kira sepertiga daripada jumlah penduduk, tetapi pada tahun 1960-an mereka mendominasi sebahagian besar sektor komersil, manakala kira-kira 56 peratus orang Melayu kebanyakannya adalah petani dan hanya menunjukkan sedikit minat terhadap bidang perniagaan.
“Pada akhir tahun 1960-an, beberapa ratus saja perniagaan bersaiz kecil dan sederhana yang dijalankan dimiliki oleh orang Melayu dan daripada jumlah profesional berdaftar pada 1970, hanya 4.9 peratus terdiri daripada orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, beliau berkata Dr Mahathir memainkan peranan utama dalam memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk merapatkan jurang dan menyamaratakan perkembangan ekonomi antara kaum.
Katanya, banyak sekolah menengah yang dibina di kawasan luar bandar, selain biasiswa diberikan kepada orang Melayu untuk mengikuti pengajian di sekolah di kawasan bandar dan kuota ditetapkan bagi kemasukan ke universiti untuk memastikan lebih ramai golongan Bumiputera dapat menerima pendidikan.
Sejumlah besar kontrak dan lesen kerajaan diberikan kepada orang Melayu untuk menggalakkan pembabitan mereka dalam bidang perniagaan yang dimonopoli oleh orang Cina dan apabila dasar terbabit tamat pada Disember 1990, hasilnya amat memberangsangkan.
Kurangnya kemiskinan dalam kalangan orang Melayu dan mereka melangkah ke era urbanisasi dan merentasi ekonomi arus perdana di samping menikmati kekayaan negara dalam jumlah yang lebih besar,” katanya.
Abdallah bagaimanapun berkata, ledakan ekonomi Asia berlaku apabila tekanan daripada pedagang mata wang menyebabkan kerajaan Thailand terpaksa menukar mata wang Baht kepada dolar Amerika Syarikat. – Berita Harian
KOMEN