SUBANG 13 Sept. – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah bersedia dengan beberapa pesawat untuk melaksanakan arahan misi kemanusian bagi membantu pelarian Rohingya di Bangladesh.
Panglima TUDM, Tan Sri Affendi Buang berkata, pada masa ini pesawat Charlie C130 dan A400M diletakkan dalam keadaan bersiap sedia bagi melaksanakan arahan penghantaran bekalan sekali lagi, jika diminta kerajaan.
“(Sabtu lepas) telah dilaksanakan misi kemanusiaan pertama, sekarang TUDM tunggu keputusan selanjutnya daripada kerajaan bila misi seterusnya akan dibuat.
“Kami akan pilih antara dua aset ini, jika barang yang ingin dibawa banyak, sudah tentu A400M lebih sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Sukan 1 Keluarga bertemakan ‘Bangkit Bersama Sukan 1 Keluarga’ di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini hari ini.
Pada 9 September lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Misi Kemanusiaan – Negaraku Prihatin, menggunakan dua pesawat A400M TUDM bagi menghantar bekalan makanan dan barang keperluan seberat 12 tan ke Chittagong di Bangladesh.
Berhubung Karnival Sukan 1 Keluarga itu, Affendi berkata acara itu diadakan untuk mengeratkan silaturahim dan semangat kerjasama antara warga TUDM dan ahli Badan Amal Kebajikan (Bakat) Udara.
Menurutnya kemuncak sambutan itu adalah pada 18 November di Pangkalan Udara TUDM Subang, yang menyaksikan pelbagai acara sukan dipertandingkan antaranya futsal, golf dan badminton.
“Kami jangka 15,000 warga TUDM akan datang untuk memeriahkan lagi acara kemuncak karnival ini,” kata Affendi.
Turut hadir pada pelancaran karnival sukan itu ialah Pengerusi Jemaah Tertinggi Bakat Udara, Tengku Puteri Seri Teja Pahang Tengku Muhaini Sultan Ahmad Shah. – Bernama
GISBH: JAIS buka 141 kertas siasatan, serah pendakwaan kepada pendakwa raya syarie
SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan membuka 141 kertas siasatan berkait kes GISB Holdings (GISBH) di negeri ini. Pengarahnya, Datuk
KOMEN