Home » Langit Terbuka » Trump bodoh, dungu

Trump bodoh, dungu

Buku “Fire and Fury: Inside the Trump White House” yang mencetuskan kontroversi mengenai tahap mental Trump. (Charles Rex Arbogast/AP)

WASHINGTON 7 Jan.  – Penulis buku kontroversi tentang tahun pertama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memegang jawatan di Rumah Putih mendakwa 100 peratus individu yang berada dalam lingkungan pemimpin itu menganggap beliau ‘bodoh, dungu’.

Kenyataan itu dikeluarkan Michael Wolff yang menghasilkan buku Fire And Fury: Inside The Trump White House yang telah berada di pasaran sejak kelmarin.

Menerusi wawancara bersama NBC News, Wolff mendedahkan beliau ada menemu bual beberapa individu yang rapat dengan jutawan hartanah tersebut dan mereka turut mempersoalkan tahap kesihatan mental Trump malah pembantunya juga mempersendakan kemampuannya.

“Kesemua mereka melihat Trump seperti kanak-kanak kerana segala perkara perlu memuaskan hatinya. Beliau tidak membaca malah tidak mendengar. Trump seperti pinball hanya menembak dari sisi,” katanya.

Menurut Wolff, dia bertemu dengan individu yang berkomunikasi dengan pemimpin itu pada setiap hari untuk mendapatkan segala maklumat dalam penghasilan buku tersebut.

Khamis lalu, Trump menerusi Twitter mendakwa buku terbabit penuh dengan pembohongan dan beliau tidak pernah bertemu dengan Wolff yang menemu bual pemimpin itu  selama tiga jam ketika kempen Pilihan Raya Presiden AS 2016 dan selepas beliau mengangkat sumpah seperti didakwanya.

“Saya memberikan akses sifar (beberapa kali) kepada penulis buku palsu itu! Saya tidak pernah bercakap dengannya.

“Ia sarat dengan penipuan, salah nyata dan sumber tidak wujud. Lihat masa lalu individu ini dan apa yang berlaku kepadanya dan Sloppy Steve!” menurut pemimpin itu di Twitter yang merujuk Sloppy Steve kepada bekas Ketua Strateginya, Stephen K Bannon yang dipecat Ogos lalu dan kini menjadi pengkritik lantang Trump.

Oktober lalu, Setiausaha Negara, Rex Tillerson turut menggelar presiden ke-45 AS itu sebagai ‘tolol’ selepas mesyuarat bersama pasukan keselamatan negara dan anggota Kabinet di Pentagon pada Julai tahun lalu.

Beberapa hari selepas laporan itu dikeluarkan, Trump menerusi wawancara bersama majalah Forbes dengan sinis berkata, beliau lebih bijak daripada diplomat kanan AS itu. – Agensi

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *