Oleh AZIMAH GHAZALI
BIASA kita dengar mutakhir ini keluhan mengenai pelajar sekarang… “hanya pandai akademik namun kurang menghayati nilai moral khususnya agama”.
Terlalu mengejar jumlah A bagi mata pelajaran teras, manakala Pendidikan Islam dipandang enteng. Bagi rata-rata pelajar, subjek Pendidikan Islam hanya perlu menghafal jawapan bagi soalan-soalan ramalan.
Pastinya boleh dibilang dengan jari… terutama bagi pelajar bersekolah bukan berlatarbelakangkan pendidikan agama, berapa kerat sahaja yang pergi tuisyen bagi mendalami subjek ini.
Adakah subjek Pendidikan Islam hanya boleh dipandang sebelah mata, sedangkan jika melihat kepada Falsafah Pendidikan Islam di negara ini, ia amat besar peranannya iaitu: Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba ALLAH yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat.
Jika dihayati, penekanan falsafah ini adalah bertumpu kepada al-Quran dan as-Sunnah. Namun, benarkah itu yang menjadi tumpuan dalam pengajaran dan pembelajaran subjek Pendidikan Islam masa kini?
Timbalan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ulama Kedah (PUK), Abdullah Din berkata, kualiti subjek Pendidikan Islam perlu berada pada tahap maksima kerana setiap pelajar Islam akan mempelajari subjek ini semasa berada di sekolah.
Beliau yang juga Guru Cemerlang Pendidikan Islam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muadzam Shah, Kota Sarang Semut, Kedah, berkata, melalui pemahaman dan penghayatan terhadap isi kandungan subjek inilah pelajar-pelajar akan meneruskan kehidupan mereka sebagai Muslim sejati.
“Sekiranya subjek ini gagal diolah dan digubah selaras dengan tuntutan Islam dan keperluan semasa maka akan lahirlah generasi pincang. Ada pihak yang berpendapat, walau pun wujud kekurangan dan kelemahan dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah, para pelajar akan terus mempelajari isi kandungan subjek ini di peringkat universiti.
“Persoalannya, peratusan pelajar meneruskan pengajian mereka di universiti jauh lebih sedikit berbanding yang gagal menjejakkan kaki mereka di universiti atau dengan kata lain pendidikan peringkat sekolah menengah adalah destinasi akhir pendidikan formal mereka. Bagi pelajar yang meneruskan pengajian di universiti, tidak semua mengambil bidang pendidikan Islam,” katanya.
Beliau mengetengahkan demikian semasa prosiding Bengkel Pendidikan Islam Nasional 2017, Memperkasa Pendidikan Islam, Menjana Modal Insan Berpersonaliti Unggul yang berlangsung di ibu negara, baru-baru ini.
Hadir merasmikan program anjuran Kluster Pendidikan Majlis Amal Islami Malaysia (Maim), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) itu ialah YDP Yadim, Dr Yusri Mohamad.
Kajian semula
Sejajar perkembangan semasa dan peredaran zaman, subjek Pendidikan Islam seharusnya memerlukan penilaian dan kajian semula agar terus relevan dan mampu menjadi bahtera penyelamat kepada generasi pada hari ini dan masa akan datang.
Frasa “ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan abadi di akhirat” dalam Falsafah Pendidikan Islam merupakan kemuncak matlamat subjek Pendidikan Islam.
Abdullah berkata, untuk melihat keseimbangan dan matlamat besar ini, beberapa perkara perlu dilihat dan diberi penilaian semula oleh pihak bertanggungjawab dalam rangka membina kurikulum subjek Pendidikan Islam seterusnya melakukan beberapa penambahbaikan dan transformasi dalam kerangka asas subjek ini.
Menurutnya, empat skop penambahbaikan subjek Pendidikan Islam sekolah menengah dicadangkan adalah kandungan kurikulum/sukatan, bahan bacaan tambahan, peruntukan masa dan Guru Pendidikan Islam (GPI) sendiri.
Bersetuju sebahagian besar kandungan kurikulum subjek Pendidikan Islam membantu ke arah tercapainya matlamat Pendidikan Islam, namun katanya, masih ada ruang-ruang kosong belum diisi.
“Sebagai contoh, kebanyakan sarjana Islam membahagikan ilmu fekah kepada empat bahagian, iaitu, ibadat, muamalat, munakahat dan jinayat. Dalam sukatan pelajaran subjek Pendidikan Islam, pelajar Islam hanya mempelajari tiga bahagian sahaja daripada pembahagian ilmu fekah ini ketika mereka berada di tingkatan 1 hingga 5.
“Ya, barangkali ada mengatakan bahagian jinayat dimasukkan dalam sukatan tingkatan 6. Persoalannya berapa kerat pelajar Islam menyambung pelajaran di tingkatan 6? Pelajar di tingkatan 6 pun bukan semua mempelajari subjek syariah. Pelajar mengambil subjek syariah sahaja akan mempelajari fiqh jinayat Islam,” katanya.
Menurutnya, sepatutnya ke empat-empat bahagian utama ini perlu dimasukkan dalam kerangka asas subjek ini atau diselitkan di mana-mana bahagian difikirkan sesuai jika pihak kementerian berhasrat melihat keseimbangan intelek pelajar-pelajar Islam di negara kita.
Bayangkan apa terjadi jika semua pusat pengajian al-Quran ditutup. Mampukah KPM beri jaminan pelajar akan menguasai kemahiran membaca dan menghayati al-Quran dengan hanya mengikuti pengajian di sekolah?
Realitinya guru-guru akan dipersalahkan jika anak tidak kuasai kemahiran membaca al-Quran. Guru menengah akan meletakkan kesalahan kepada guru agama sekolah rendah. Apabila guru-guru di sekolah rendah dipersalahkan apa jawapan mereka?
Abdullah berkata, dengan 30 minit satu masa atau satu jam 30 minit seminggu, perlu difikirkan mampukah seorang GPI memastikan pelajar menguasai al-Quran dengan wajaran masa diberikan sekarang?
“Pemilihan ayat-ayat kefahaman perlu dilakukan semula berdasarkan keperluan semasa. Jumlah hadis perlu diperbanyakkan agar nampak keperluan sunnah dalam kehidupan.
“Saya ingin mencadangkan buku Sirah Nabawiyyah 3 (sirah nabi) sebagai bahan bacaan wajib kepada pelajar Islam seperti bahan bacaan dalam subjek Sastera, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Biarlah sebelum menamatkan pelajaran di sekolah menengah sekurang-kurangnya pelajar Islam habiskan bacaan tentang sirah kehidupan nabi agung, Nabi Muhammad SAW bermula dari kelahirannya hinggalah kewafatannya. Amatlah malang seorang Muslim tak pernah membaca dan tahu sirah hidup nabi yang wajib dicintainya. Mungkin ada akan bantah cadangan ini dengan alasan bebankan pelajar,” katanya.
Menurutnya, bahagian akidah, Ibadat / Muamalat, Bahagian Sirah, tulisan Jawi juga antara perkara perlu diberi perhatian.
Dalam masa sama katanya, peruntukan masa subjek Pendidikan Islam perlu ditambah atau paling kurang dikekalkan sebanyak 6 masa seminggu.
Katanya lagi, melalui Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bermula pada tahun ini diharapkan berlaku perubahan yang bantu memperkasa Pendidikan Islam.
Atasi gejala sosial
Sementara itu, Ketua Kluster Pendidikan Maim, Dr Amini Amir Abdullah bersetuju kaitan erat antara pendidikan Islam dengan jati diri pelajar pada masa ini.
Tidak menafikan perkaitannya dengan perubahan zaman, menurutnya sudah sampai masanya subjek Pendidikan Islam yang sudah lebih 10 tahun ditambah baik.
“Dengan cara itu ia bantu atasi pelbagai gejala dan masalah sosial pelajar terutama beragama Islam seperti kita tahu semakin membimbangkan pada kini.
“Hanya dengan pendidikan Islam dapat membantu jika dalam masa sama kita bercakap soal dan mempersoalkan mengenai masalah sosial, jati diri, adab, tatasusila dan sekarang tentang integriti,” katanya.
Menurutnya, kajian juga banyak mengaitkan gejala sosial masa kini berpunca daripada kurangnya pendidikan agama.
Mengulas cadangan Abdullah, Amini mengakui kekangan masa PdP dalam kelas antara faktor utama, justeru berharap mencari alternatif bagi mengatasinya dengan anjakan waktu.
“Jika waktu pembelajaran pagi, waktu pulang biasa 1.30 petang mungkin boleh dianjakkan masa dalam satu ke satu jam setengah. Begitu juga jika sekolah petang, mungkin boleh diawalkan daripada masa sepatutnya.
“Pendek kata perlu ada inisiatif untuk memperkasakan agama. Sepatutnya juga subjek agama Islam kini dijadikan subjek teras dan waktu pembelajarannya sama seperti subjek mata pelajaran lain. Barulah ada lebih masa untuk mendalami al-Quran dan hadis,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya penekanan sama perlu diberikan kepada subjek Pendidikan Moral untuk pelajar bukan Islam dengan menambah waktu PdP sekiranya dilihat kurang mencukupi.
Memberi komen berhubung peranan perlu dimainkan GPI, Amini berkata, guru mengajar Pendidikan Islam seharusnya kalangan mereka yang sememangnya mendalami bidang berkenaan.
“Bagaimanapun difahamkan ada disebabkan kekurangan, guru Bahasa Arab juga diserap menjadi guru Pendidikan Islam. Sedangkan guru Bahasa Arab dan Pendidikan Islam berbeza. Itu sebab misalnya, bila pelajar tanya mengenai muamalat, guru Bahasa Arab tak boleh terangkan.
“GPI memang perlu dari bidang Pendidikan Islam. Bukan ambil GPI sekadar mengisi kekosongan,” katanya.- https://www.sinarharian.com.my/
KOMEN