KUCHING 19 Sept. – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Sarawak telah mengadakan bengkel Training of Trainers (TOT) untuk para Daie YADIM dari seluruh Negeri Sarawak pada 2 September 2016 sehingga 5 September 2016 bertempat di Kem Siar Beach Resort, Lundu Kuching Sarawak.
Eksekutif Kanan Yadim Zon Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, bengkel berkenaan merupakan salah satu aktiviti yang telah dirancang untuk para daie Yadim bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dakwah yang boleh diaplikasikan apabila berada di lapangan.
“Di samping itu, program ini adalah sebagai ruang untuk para daie dan pengurusan Yadim bermesyuarat dan mengemaskini perkembangan gerak kerja dakwah serta isu-isu yang ingin dibangkitkan agar dapat diselesaikan bersama,’’ katanya.
Beliau berkata, bengkel TOT berkenaan merupakan susulan daripada perbincangan bersama pasukan penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang bersetuju untuk berkerjasama untuk melaksanakan kajian tahap pengetahuan dan amal islami di kalangan Saudara Kita di kawasan penempatan daie YADIM.
Menurutnya, objektif khusus pelaksanaan bengkel ini adalah untuk memberi pendedahan tentang cara-cara untuk mendapatkan maklumat tentang pengetahuan dan kefahaman Saudara Kita terhadap Islam melalui kaedah pemerhatian, soal selidik dan temubual.
“Bengkel ini juga bertujuan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dakwah serta penyusunan gerak kerja yang sistematik untuk para daie’’ jelasnya.
Dalam program yang telah diadakan itu seramai 20 daie termasuk dua wanita telah turut serta dan sepanjang program berlangsung mereka telah diberikan pendedahan tentang pelbagai perkara berkaitan kaedah dakwah.
Antara tajuk-tajuk yang disentuh dalam program itu termasuk teknik mempelajari al-Quran berkesan, Â pantas aplikasi modul bijak belajar al-Quran, latihan penyelidikan, pembentangan umum kajian tahap pengetahuan dan kefahaman Islam Saudara Kita, bagaimanakah mengelak diri daripada berat sebelah dan pengurusan soalan-soalan yang berkesan.
Sesi ceramah berkenaan telah disampaikan oleh beberapa tenaga pengajajar dari Unimas dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
KOMEN