Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, konsep itu bagaimanapun tidak boleh diterjemahkan secara umum sehingga melanggar perintah agama.

“Perkara dan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran yang dituntut Islam jika ditoleransi, akan meruntuhkan benteng agama.

“Justeru, dalam kita berusaha melakukan hijrah kepada hidup bermasyarakat yang lebih toleransi serta disemai dengan bunga kasih sayang, janganlah pula kita mengabaikan tuntutan agama dan hukum Allah Subhanahu Wataala.

“Bersempena sambutan Maal Hijrah pada tahun ini, marilah sama-sama kita seluruh rakyat Malaysia untuk berhijrah membentuk sebuah negara yang maju dengan asas perpaduan dan keharmonian yang utuh,” titah baginda sempena perhimpunan sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini (1 September).

Turut berangkat mencemar duli ke majlis itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Hadir sama, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

Dalam titah ucapan itu, Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya sama-sama memelihara kemerdekaan negara yang merupakan nikmat dan rahmat kurniaan Allah buat bekalan generasi akan datang.

Ini kerana, titah baginda, semenjak negara mencapai kemerdekaan 62 tahun lalu, Malaysia telah melalui pelbagai peristiwa penghijrahan yang amat menakjubkan dalam aspek pembangunan fizikal yang pesat, peningkatan ekonomi yang mampan dan kematangan landskap politik.

Pun begitu titah Sultan Abdullah, masih terdapat banyak ruang untuk kita melakukan hijrah bersama-sama dengan meladani pengorbanan dan kejayaan Rasulullah dalam peristiwa penghijrahan baginda.

Titah baginda lagi, sejarah telah membuktikan bahawa bangsa dan masyarakat yang berjaya sentiasa melakukan perubahan dan penghijrahan.

“Pengukuhan etika dan nilai-nilai murni dalam pentadbiran dan pengurusan adalah aspek yang wajar dilaksanakan.

“Ini kerana, pembentukan sebuah negara maju tanpa budaya integriti yang tinggi adalah merupakan penghijrahan yang tempang.

“Sehubungan itu, saya menyokong usaha-usaha untuk meletakkan tadbir urus negara berasaskan kepada disiplin maqasid syariah.

“Melalui pendekatan ini, penghijrahan tertinggi yang boleh dicapai adalah dengan memartabatkan kebaikan dan menolak kebuurkan dalam setiap jiwa rakyat di negara ini,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang menyemai kasih sayang kepada makhluk Allah dan sifat itu perlu dipupuk dalam setiap anak watan agar keharmonian serta perpaduan antara rakyat dapat dipelihara. – Utusan Malaysia