Home » Langit Terbuka » Tindakan terhadap isu GISBH sudah diambil sejak 2019 – JAKIM

Tindakan terhadap isu GISBH sudah diambil sejak 2019 – JAKIM

Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff.

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memaklumkan tindakan ke atas Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang kini disiasat susulan Op Global, sudah pun dimulakan pihaknya sejak Februari 2019.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah JAKIM, Datin Hakimah Mohd Yusoff, sekali gus menafikan dakwaan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan berhubung isu GISBH.

Beliau berkata, selain 12 mesyuarat diadakan, tindakan diambil susulan isu GISBH turut meliputi bengkel, pasukan petugas khas dan program kenegaraan yang mana ia turut membabitkan agensi keselamatan negara antaranya Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Mengulas lanjut, beliau berkata satu pertemuan tertutup dengan pihak GISBH diadakan pada September 2019 membabitkan Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Jabatan Peguam Negara, Panel Pakar Akidah JAKIM serta Panel Pakar Tasawuf JAKIM.

Pertemuan ini, katanya membincangkan isu berkaitan GISBH melalui sesi dialog dengan cadangan penyelesaian yang bersesuaian.

“Pada Julai 2022, Mesyuarat Khas bersama Agensi Keselamatan Negara termasuk MKN, PDRM dan KDN diadakan bagi tujuan penyelarasan isu berkaitan.

“Ia disusuli beberapa perbincangan pada Ogos lalu, selain Program Kem Kenegaraan Remaja Pembela Ummah (RPU) GISBH kali ke-2 serta dialog dengan pihak GISBH atas dakwaan penyelewengan akidah yang masih diamalkan, seterusnya disusuli perbincangan bersama NADI MAIS dan Jabatan Mufti Negeri Selangor.

“Pada Februari 2023, Mesyuarat Khas Panel Pakar Akidah mengenai isu GISBH diadakan melibatkan NADI, Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial E2 Cawangan Khas PDRM serta pertemuan dengan bekas pengikut GISBH, di samping program kenegaraan kepada RPU diteruskan anjuran PDRM dan iLead, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Oktober 2023.

“Seterusnya satu pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali diadakan pada Februari tahun ini bagi mengkaji lebih mendalam isu akidah, syariah dan tasawuf dalam GISBH,” katanya melalui kenyataan hari ini.

BH semalam melaporkan JAKIM akan membawa isu berkaitan GISBH ke Jawatankuasa Muzakarah MKI bagi memutuskan persoalan berkaitan akidah.

Kelmarin, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin melalui hantaran video merujuk siri kuliah mingguan diadakan di Masjid Alwi di Kangar berkata isu membabitkan GISBH sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk JAKIM dan pihak penguat kuasa, namun tiada tindakan diambil.

Semalam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dilaporkan berkata jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman GISBH bagi proses pembanterasan hingga akar umbi dan ajaran menyeleweng.

Dalam Op Global dijalankan antara jam 6 hingga 11 pagi kelmarin, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Hakimah berkata, hasil kajian dan dapatan berkenaan isu GISB susulan tindakan diambil itu akan dibentangkan dalam Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Kebangsaan (MKI) dan mesyuarat Kabinet, seterusnya memohon perkenan Majlis Raja-Raja (MRR) sebelum difatwakan di bawah bidang kuasa negeri bagi tujuan penguatkuasaan.

Beliau berkata, JAKIM konsisten mengadakan dialog, program dan kajian mendalam mengenai isu berkenaan dan tidak berkompromi terhadap apa-apa perkara membabitkan akidah umat Islam.

Selain itu, katanya, JAKIM adalah agensi Persekutuan bagi pengurusan hal ehwal Islam, bertanggungjawab dalam penyelarasan dan penyeragaman perundangan serta pandangan hukum bagi sesuatu isu dalam kalangan umat Islam.

“Selaras peraturan, JAKIM sebagai sekretariat yang melaksanakan fungsi MKI bagi menyembah nasihat kepada MRR, apa-apa perkara berkenaan perundangan Islam, pengurusan hal ehwal Islam dan pendidikan agama Islam.

“Ia bagi maksud menambah baik, menyelaras dan menggalakkan keseragaman undang-undang atas kepentingan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan

Bengkel Pelan Strategik YADIM 2024

WALAUPUN Sudah banyak kejayaan yang dikecapi, warga badan dakwah ini diseru untuk tidak cepat berpuas hati, malah perlu berusaha lebih gigih lagi

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *