Home » Langit Terbuka » Tiga warga emas berbasikal ke Mekah

Tiga warga emas berbasikal ke Mekah

Objektif program kayuhan basikal ke Mekah adalah untuk memberi semangat kepada orang ramai untuk menunaikan ibadah haji selain mempromosikan Malaysia kepada negara luar - Utusan Malaysia

ALOR SETAR 2 Ogos – Tiga warga emas mencari dana sebanyak RM150,000 bagi merealisasikan misi kayuhan basikal ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji menerusi Program Road 2 Hajj Memburu Hidayah 2019.

Perjalanan sejauh 11,394 kilometer (km) bermula pada 6 Januari itu diketuai Wan Hashim Wan Mahmood, 72, bersama dua rakannya iaitu Che Saad Nordin, 68, dan Mohamed Zainal Abidin, 62.

Menurut Wan Hashim yang lebih dikenali sebagai Pak Wan, misi kayuhan itu akan merentasi lapan negara iaitu Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

“Kayuhan tersebut dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disempurnakan, namun bergantung ke­pada situasi dan cuaca,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut datuk kepada 20 cucu itu, objektif program adalah untuk memberi semangat kepada orang ramai untuk menunaikan ibadah haji selain mempromosikan Malaysia kepada negara luar.

“Saya mempunyai pengalaman dalam jelajah berbasikal dan pernah mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai pengayuh basikal tertua mengelilingi Semenanjung Malaysia pada tahun 2014 selain berjaya menamatkan Misi Kayuhan Jelajah Lima Negara Asia Tenggara secara solo pada 2015.

“Che Saad dan Mohamed juga mempunyai pengalaman dalam jelajah berbasikal selain Mohamed yang lebih dikenali sebagai Bashah mempunyai kelebihan bertutur dalam sembilan bahasa antaranya bahasa Inggeris, Tamil, Cina, Thai dan Urdu,” katanya.
Menurut Pak Wan, mereka memerlukan peruntukan seba­nyak RM150,000 bagi mereali­sasikan misi kayuhan tersebut.

“Kita akan memohon peruntukan kerajaan dan pelbagai pihak selain berurusan dengan Tabung Haji bagi menguruskan keperluan kami menunaikan haji nanti,” katanya.
Katanya, pihaknya pada masa sama juga merancang untuk mengutip dana bagi membawa tujuh individu daripada golong­an tidak berkemampuan bagi menunaikan haji.

Sehubungan itu, mana-mana pihak yang berminat untuk menaja misi kayuhan tersebut boleh menghubungi Pak Wan di talian 019-4920006.

 

https://www.utusan.com.my/berita/komuniti/tiga-warga-emas-berbasikal-ke-mekah-1.721549#ixzz5N4wrz3nn

 

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *