KUALA LUMPUR 21 Feb. – Tiga penjaga premis termasuk seorang warga asing ditahan dalam tiga serbuan menerusi Op Loteri Awam di sekitar Shah Alam, Selangor, petang tadi.
Operasi yang dijalankan oleh Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dilakukan sekitar 4.30 petang hingga 6 petang.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintenden Norhizam Bahaman berkata, serbuan pertama dilakukan di Taman Sri Muda dan menahan seorang lelaki tempatan.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah unit telefon bimbit, seunit data printer, empat keping kertas putih tercatit angka-angka serta wang tunai berjumlah RM121.
“Serbuan kedua pula pada 5.05 petang di lokasi sama di mana seorang lelaki ditahan dan merampas satu kalkulator, seunit data printer, empat keping kertas putih tercatit angka-angka dan wang tunai berjumlah RM85,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Jelas Norhizam, serbuan ketiga pula dilakukan di Jalan Serai Wangi pada pukul 6 petang turut menahan seorang lelaki warga asing.
Ujarnya, polis turut merampas seunit telefon bimbit, seunit data printer, empat keping kertas putih tercatit angka-angka dan wang tunai berjumlah RM105.
“Kesemua kes akan disiasat di bawah Seksyen 4A (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE.
KOMEN