PUTRAJAYA – Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Nik Omar Nik Abdul Aziz menekankan tiga teras utama sebagai panduan yang dilihat penting untuk menyebarkan mesej Islam positif kepada semua lapisan masyarakat.
Beliau berkata, tiga teras utama tersebut adalah perubahan pemikiran, nasihat-menasihati dan operasi kehidupan yang perlu diterapkan.
Katanya, dalam konteks yang dibawa, orang Islam perlu merasakan bahawa agama Islam adalah satu nikmat dan bukannya bebanan kepada masyarakat Islam itu sendiri.
“Kita hari ini perlu ubah pemikiran dengan menggalas tanggungjawab untuk sebarkan Islam dan risalah dakwah supaya difahami sebaik mungkin oleh orang Islam dan dijadikan panduan. Masyarakat bertanggungjawab jelaskan islam kepada orang bukan Islam sehingga takdir mereka mendapat hidayah.
“Kedua, nasihat menasihati yang merupakan asas agama kerana kita tak sempurna dan perlu bantuan dari sudut Ilmu. Kita berusaha jadikan agensi kerajaan khususnya Yadim sebagai agensi yang terbaik untuk beri nasihat. Tetapi tanggungjawab amanah diberi adalah laksana tugasan yang sesuai dengan peraturan yang dtetapkan.
“Ketiga, operasi kehidupan dengan mengabdikan diri kepada Allah dan beribadah kepadanya dalam segenap aspek kehidupan dan ini asas yg ingin diterapkan Yadim,” katanya.
Beliau turut menambah, pihaknya berharap dapat melahirkan Da’i muda Yadim yang dapat membantu dalam proses pembangunan islam dan negara yang seimbang.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Fastabiqul Khairat Yadim di Masjid Tuanku Mizan hari ini.
Turut hadir Pengerusi Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (Yapeim), Datuk Mohd Daud Bakar dan Ahli Lembaga Pengarah Yadim Datuk Abdul Ghani Shamsuddin. – Malaysia Gazette
KOMEN