Home » Langit Terbuka » Tiga lagi anak belum dipulangkan GISB

Tiga lagi anak belum dipulangkan GISB

Sepang: “Selepas tiga tahun terpisah, saya gembira isteri, Samsiah Yusuf dan anak bongsu, Mohd Abd Bar, 5, dikembalikan kepada saya. Namun, pada masa sama hati saya sebak kerana tiga lagi anak yang berada di Jordan tidak dipulangkan,” kata bekas pengikut al-Arqam, Mohd Zawawi Aman, 46.

Beliau menyambut Samsiah dan Mohd Abd Bar yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), jam 9.30 malam kelmarin, dari Jordan.

Dalam pertemuan itu, riak wajah Mohd Zawawi yang kelihatan gembira bercampur sebak serta dan kecewa, menyatakan penghargaannya kepada pihak media yang membuat pendedahan berterusan berhubung penyelewengan Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB) sehingga mereka mengaku salah dan memulangkan isteri serta anaknya, kelmarin.
Zawawi berkata, anak sulungnya, Mohd Qutaibah, 20, dilaporkan tiba petang kelmarin menaiki penerbangan dari Indonesia, tetapi kini berada di Rawang.

“Saya gembira, tapi belum sepenuhnya kerana tiga lagi anak saya yang bawah umur masih tidak dikembalikan seperti dijanjikan dalam surat yang dikemukakan GISB pada 4 September lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di KLIA, di sini kelmarin.

Berikutan itu, Pengetua Maahad Tahfiz al Quran An Najihah di Nilai, Negeri Sembilan itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang jika GISB gagal memulangkan tiga anaknya dalam tempoh dua minggu selepas laporan polis dibuat di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

“Saya bimbang keselamatan diri, khususnya dua daripada tiga anak saya masih bawah umur dan di bawah tanggungjawab saya dan isteri sebagai ibu bapa yang masih hidup,” katanya.

Dalam pada itu, Samsiah yang ditemui sejurus tiba, berkata tindakannya pulang ke negara ini diaturkan GISB selepas hasil perbincangan kedua-dua pihak, termasuk suaminya.

“Saya tidak boleh kata kepulangan saya ke negara ini atas keputusan sendiri, saya pulang selepas diarahkan pulang,” katanya yang mengakui ditemani seorang wakil lelaki GISB, namun ‘menghilangkan diri’ sejurus tiba di lapangan terbang.

Ditanya sejak bila beliau sedar ajaran dibawa GISB salah, Samsiah berkata, sejak 31 Ogos lalu selepas peneraju GISB yang dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam, Hatijah Aam mengaku salah dan meminta ahli GISB bertaubat kerana mengikut ajaran Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

https://www.bharian.com.my/bharian/articles/TigalagianakbelumdipulangkanGISB/Article

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *