Home » Langit Terbuka » ‘Tiga Jam Masih Tidak Tahu Apa Berlaku’

‘Tiga Jam Masih Tidak Tahu Apa Berlaku’

KEDAAAN penumpang di dalam feri yang dalam perjalanan dari Kuah ke Kuala Perlis selepas terkandas akibat terlanggar beting pasir di perairan Kuala Perlis.

KANGAR – Rata-rata penumpang feri yang terkandas hampir tujuh jam di perairan Kuala Perlis malam tadi berang apabila mereka tidak dimaklumkan lebih awal mengenai kejadian tersebut sehingga menyebabkan suasana menjadi panik.

Seorang penumpang, Hisham Yaakob,40, berkata, dia memahami kejadian seumpama itu adalah sesuatu di luar jangkaan tetapi para krew terutama kapten feri berkenaan perlu memaklumkan lebih awal mengenai kejadian tersebut supaya mereka tidak tertanya-tanya sehingga akhirnya menimbulkan sedikit kekecohan.

Dalam masa sama, dia juga kesal apabila terpaksa menunggu dalam tempoh cukup lama sebelum proses memindahkan para penumpang ke bot-bot yang disediakan selesai iaitu kira-kira pukul 2.30 pagi.

“Pada mulanya kami ingat telah sampai ke jeti selepas feri berkenaan berhenti. Namun selepas sekian lama menunggu masih tidak tahu apa yang berlaku.

Selepas itu, apabila keluar daripada dalam feri itu baru kami dapat tahu, feri tersebut tersangkut akibat air cetek. Itupun selepas lebih tiga jam,” katanya ketika ditemui di sini awal pagi ini.

Seorang lagi penumpang, Aiman Azmi,25, berkata, feri berkenaan tersekat kira-kira pukul 8.30 malam bagaimanapun lebih kurang pukul 11.20 malam baru ada perbincangan untuk menyelesaikan masalah tersebut selepas usaha awal menggunakan bot ikan bilis untuk menarik feri tersebut gagal.

“Keputusan mereka ambil untuk menyelesaikan masalah tersebut sahaja memakan masa dua sehingga tiga jam sebelum beberapa bot datang untuk mengambil para penumpang ke jeti.

“Sepanjang hampir tujuh jam terkandas, ramai dalam kalangan penumpang khususnya kanak-kanak mula menangis. Malah kira-kira pukul 12 tengah malam baru kami diberikan roti untuk mengisi perut.

“Sepatutnya kapten feri yang bertugas itu memberi penerangan kepada penumpang lebih awal apa yang berlaku supaya kami tidak cemas pada masa itu. Malangnya dia (kapten) hanya menunggu di dalam dek feri berkenaan tanpa memberi apa-apa informasi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, sebuah feri Star City 6 yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Kuala Perlis bersama 432 penumpang terkandas di beting pasir berhadapan muara Kuala Perlis iaitu kira-kira 0.8 batu nautika dari Terminal Kuala Perlis.

Misi memindahkan para penumpang dengan menggunakan lapan buah bot dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Marin, bomba, kastam, nelayan dan bot sampan fiber yang bermula pada pukul 12.15 tengah malam itu selesai kira-kira pukul 2.30 pagi.

Difahamkan, hasil siasatan awal mendapati punca kejadian tersebut ialah kerana feri berkenaan tersasar dari laluan asal. – UTUSAN ONLINE

Artikel Berkaitan

Search
ARKIB
KATEGORI

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *