KUALA LUMPUR – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menyokong siasatan dan tindakan terhadap GISB Holdings (GISBH) dijalankan oleh pihak berkuasa namun tidak bersetuju pandangan segelintir pihak menyalahkan Jakim berkaitan isu terbabit.

Setiausaha Agung PUM, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, kritikan terhadap Jakim seolah hanya memberi merit kepada golongan tertentu yang dianggap membongkar isu GISBH.

Menurutnya, Jakim yang menyelaras hal ehwal agama telah banyak terlibat dalam usaha-usaha memastikan GISBH tidak melanggar sebarang bentuk peraturan dan undang-undang dalam negara.

“Sudah tentu Jakim perlu bertindak dengan agensi-agensi lain mengikut fungsinya, terutama agensi yang diberikan kuasa penguatkuasaan.

“Justeru, PUM sangat tidak bersetuju untuk menyalahkan mahupun meremehkan usaha-usaha yang dilakukan oleh Jakim dalam menangani isu GISBH.

“Tindakan mengkritik usaha JAKIM hanya akan mengeruhkan keadaan dan tidak membantu dalam menangani isu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru, beliau berharap Jakim meneruskan fungsinya mendepani cabaran dihadapi oleh umat Islam dalam negara.

“Sewajarnya kita hargai usaha semua pihak sama ada yang terlibat secara langsung atau tidak dalam hal ini. Semua agensi bertindak dalam ruang lingkup dan bidang kuasa masing-masing.

“Sebagai rakyat prihatin, kita perlu sama-sama membantu mencegah segala bentuk amalan yang tidak tepat dengan syariat Islam dan peraturan di Malaysia.

 

“Ini dapat ditangani sebaiknya melalui penyelarasan di peringkat Persekutuan oleh Jakim dan diambil tindakan sewajarnya oleh pihak berkuasa agama di negeri-negeri, ” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan PDRM sedang memantau GISBH yang disyaki terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak.